Thursday, May 18, 2006
SEBIJI PINGGAN
Dia lahir ke dunia dalam serba serbi tersedia oleh keluarga. Kemewahan melata. Susah? Tiada erti susah dalam kamus hidupnya. Mahu apa saja, ayah boleh sedia. Celik mata semua di hadapan mata.

Minggu lepas, Dia menawarkan diri untuk turut serta satu program khidmat siswa di sebuah kampung terpencil di negeri Selangor. Itupun aku paksa. Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas Negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan aku bekerja. Kampung itu menempatkan penghuni yang rata-rata mempunyai pendapatan ringgit-Malaysia-lima-kosong-kosong ke bawah. Dapatlah dia seorang ayah angkat penjual aiskrim, isteri dengan tujuh anak lelaki yang masih kecil.

Kehidupan mereka maha daif. Aku tidak sampai hati untuk ketawa bila dia menceritakan pengalamannya mandi dengan memegang pintu bilik mandi. Makan dengan seadanya dan terlalu simple. Nasi berlaukkan pucuk ubi rebus, kicap dan ikan goreng yang dipancing dari laut berhampiran. Rumah PPRT tanpa kipas angin. Tidur bermandi peluh. Alangkah daifnya hidup mereka, bagai langit dan bumi dengan banglo mewah milik ayahnya.

Pulang dari program itu, dia menemui aku. Bercerita dengan penuh kerut wajah dan membusung rasa tidak puas hati di dada. Semuanya amat sukar baginya. Katanya bagai dihantar ke neraka! Aku tersenyum mendengar ceritanya. Katanya lagi, sebelum bertolak pulang ke Universiti, dia dihadiahkan sebiji pinggan daripada mereka (sambil menunjukkan hadiah sebiji pinggan kepada aku). Itupun pinggan percuma dari belian sekampit sabun basuh. Dia rasa malu dan terhina menerimanya. Apa tidaknya, sahabat yang lain ada dihadiahi baju, tuala, plak dan sebagainya. Tetapi dia hanya menerima sebiji pinggan tertulis besar jenama sabun basuh pula!

Dengan selamba aku berkata kepadanya; "Ril, itulah lambang pengorbanan dan keperitan seorang ayah yang memerah keringat, mencari sePINGGAN nasi untuk menyuap isteri dan zuriat!"

Dia terpempan dan pinggan hadiah ayah angkatnya itu, jatuh berderai di lantai pejabatku!

------------------------------

* Aku ingin merakamkan ucapan terima kasih sekalung budi kepada Ustaz Wan Sobri, Pegawai JASA dan Seluruh penduduk Kampung *****, DUN Sg. Panjang yang sudi menerima anak didik kami.
posted by rudy bluehikari @ 1:53 AM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 

RUDY BLUEHIKARI
dari Banting ke Fukushima
Winner of Geng Jurnal Best Weblog Award 2001
Terkini
Arkib 2006
Arkib

 

Links
Karya


    Buku kompilasi entri 20 penulis blog terbitan MINE. Hubungi saya di vicenata2000 [at] yahoo [dot] com untuk mendapatkan buku ini.


    Novel bersama kedua saya hasil tangan Sri Diah, MBA, Rudy Bluehikari dan Ibnuariff sudah berada di pasaran sekarang. Terbitan Alaf 21.


    Novel Bersama sulung saya hasil tangan 23 penulis terbitan esastera.com.


    Buku kompilasi entri penulis blog terbitan MINE. Hubungi saya di rudy [at] bluehikari [dot] com untuk mendapatkan buku ini.

Powered by

Free Blogger Templates

BLOGGER