Thursday, January 26, 2006 |
PERBICARAAN |
Esok perbicaraan. Lama sudah tidak menghadiri perbicaraan. Mendakwa orang memang mudah. Mahu membuktikannya memang payah. Esok-esok di Padang Mashyar macamanalah agaknya perbicaraan dengan Tuhan. Lagi-lagi dalam lautan manusia yang menunggu giliran dimizan. Aduh! Agaknya berat ke manakah mizan amalan aku? |
posted by rudy bluehikari @ 1:52 AM |
|
|
Saturday, January 07, 2006 |
KORBAN |
Salam Aidil Adha. Tahun ini Aku, Insyirah dan Hiro kena berkorban untuk hidup berjauhan. Insyirah bakal mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah di Utara Semenanjung. Hiro terpaksa aku tinggalkan di kampung. Mengemis simpati Mak selama setahun mendatang ini untuk menjaganya. Aku? Aku di sini di tanah bertuah ini mencari sesuap nasi untuk keluarga.
Januari agak keras untuk aku lalui. Kewangan agak menghimpit. Banyak nak guna duit. Tapi hidup kena terus. Kena tabah. Takkan mati kalau tiada duit. Belanja kena berhemah selama setahun ini. Tidak boleh mewah. Sementalah Insyirah hanya mendapat elaun sara diri yang jauh lebih rendah daripada gajinya dahulu.
Moga-moga kami diberi kesabaran selama setahun ini. Untuk masa depan. Untuk Mama. Untuk Papa. Untuk Hiro.
Inilah pengorbanan. Pengorbanan namanya. Selamat Hari Raya Korban. Kalian pun mesti ada sesuatu yang dikorbankan. |
posted by rudy bluehikari @ 1:48 AM |
|
|
Tuesday, January 03, 2006 |
TEMUBUAL SM |
Anugerah Weblog Terbaik (AWET) telah diperkenalkan sejak tahun 2001. Sejak itu sudah ada 4 pemenang dinobatkan sebagai AWET. 1 Januari yang lepas, seorang lagi dinobatkan untuk AWET 2005. Tahniah kepada Tokrimau. Tahniah kepada semua pemenang Anugerah!
.................
Temubual dengan pemenang AWET 2004
(Terdapat dalam Buku Cenderamata Gathering GJ 2005
Selepas kemenangan Rudy Bluehikari (2001), Fajar (2002) dan Mat Jan (2003) mengungguli Anugerah Weblog Terbaik (AWET) Geng Jurnal, Sultanmuzaffar pula berjaya menempatkan diri dalam Anugerah berprestij ini pada tahun 2004. Berikut adalah temubual Rudy Bluehikari pemenang AWET 2001 dengan Sultanmuzaffar.
1. Apa perasaan saudara bila diiktiraf sebagai pemenang Anugerah Weblog Terbaik 2004
Saya bangga kerana telah berada di dalam kelompok elit (jika boleh saya katakan sebagai elit) bersama dengan Rudy Bluehikari, Fajar dan Mat Jan. Saya terkejut kerana tidak pernah menyangka blog yang satu ketika dahulu bercerita tentang apa yang pembaca tidak mahu baca terpilih memenangi anugerah tersebut. Saya agak kecewa kerana ada banyak lagi blog yang lebih bagus dan lebih layak untuk memenangi anugerah ini tetapi terhalang kerana kemenangan saya.
2. Dimanakah letaknya kepuasan menulis weblog?
Saya belum puas dan tidak pernah puas. Dalam ertikata lain, saya memang rakus dalam menulis blog, tetapi jangan risau kerana saya tidak ganas. Saya puas bila dapat menyalurkan maklumat yang tepat kepada pembaca saya. Saya puas bila dapat membuatkan pembaca saya terpengaruh dengan penulisan tersebut. Saya paling puas bila mendapat ramai kenalan, kawan, sahabat dan mungkin teman dengan menulis blog. Biarlah kepuasan itu kepuasan yang positif dan bukan kepuasan yang negatif.
3. Apakah yang membezakan penulisan saudara dengan pemenang-pemenang sebelum ini?
Ketiga-tiga pemenang sebelum ini begitu unik antara satu sama lain. Mereka mempunyai identiti mereka yang tersendiri. Adakalanya saya cemburu kerana tidak mampu menulis dalam cara berjenaka sinis seperti Mat Jan, tidak mampu memberikan penulisan yang mampu meruntun jiwa pembaca seperti Bluehikari dan tidak mampu menulis dalam gaya bahasa seindah tulisan Fajar. Kalau Mat Jan seorang menteri saya letakkan Mat Jan setaraf dengan Datuk Seri Samy Vellu kerana mereka berdua suka buat lawak. Itulah antara kepintaran yang dimiliki oleh mereka bertiga. Jika boleh, saya mahu ketiga-tiga kepintaran tersebut dan digabungkan dengan kepintaran saya (jika ada) melalui penulisan di dalam blog saya pula. Saya tidak punya semua itu, yang saya ada hanyalah minat dan komentar seni (popular atau tidak popular) untuk saya kongsi bersama dengan pembaca-pembaca saya.
4. Siapa tidak kenal Sultanmuzaffar. Tema penulisannya lebih kepada seni. Mengapa tema seni diketengahkan dalam kebanyakan penulisan weblog saudara?
Saya mula mengulas tentang kegiatan seni yang tidak begitu popular di Malaysia iaitu teater. Lama-kelamaan saya tertarik untuk mengikuti perkembangan dunia filem dan muzik di Malaysia. Apa yang saya tulis hanyalah secebis ilmu yang saya perolehi melalui pengalaman hidup. Hasilnya bukan berdasarkan ilmu yang dituntut secara formal.
Saya melihat kegiatan seni kurang popular ini perlu dipopularkan kepada rakyat Malaysia. Teater contohnya memberikan keupayaan senilakon yang mantap oleh pelakonnya dan kepayahan menguruskan sebuah produksi, ini perlu dipopularkan agar mereka kenal siapa pelakon teater tanahair dan bagaimana proses membikin sebuah produksi.
Saya bernasib baik kerana mempunyai pengaruh pembaca yang agak besar dan lantaran itu saya menggunakan populariti kesan dari Akademi Fantasia untuk membawa golongan tersebut mendekati seni yang kurang popular. Ini secara tidak langsung kegiatan seni lain dapat dipopularkan sama. Ia semamcam projek serampang dua mata secara bidan terjun yang saya lakukan untuk mempopularkan kegiatan seni di Malaysia dengan menggunakan populariti Akademi Fantasia. Sampai satu ketika, saya sudah tidak memerlukan lagi Akademi Fantasia untuk terus hidup dan waktu itu saya mahu melihat kegiatan seni di Malaysia sudah sama popular dengan Akademi Fantasia. (Macam saya tidak memerlukan Mawi untuk blog ini terus hidup sekarang)
Sejak akhir-akhir ini saya cuba menulis tentang isu-isu kemasyarakatan dan sosial agar kelompok pembaca saya mula mendekati topik-topik sedemikian. Kebaikannya bukan sekadar untuk saya tetapi juga untuk mereka manafaatkan.
5. Apakah peristiwa paling besar yang memberi kesan mendalam kepada hidup saudara sepanjang tahun 2005 disebabkan oleh penulisan di blog Saudara?
Saya bertukar tempat kerja. Setelah tujuh tahun lebih bertugas di UNITAR, saya beralih angin ke sebuah bidang yang lebih sesuai dengan saya. Saya kini terlibat secara langsung dalam bidang hiburan dan mengaplikasikan ilmu teknologi maklumat saya ke dalam bidang tersebut. Lebih menarik apabila IT dan hiburan digabungkan, ia telah menjadi satu kerjaya baru untuk saya. Saya benar-benar puas dapat melakukannya.
6. Bagaimanakah Komuniti Weblog amnya dan Geng Jurnal khususnya memberi impak kepada hidup saudara? Terus terang saya katakan saya takut sebenarnya dengan impak yang datang dari komuniti weblog itu sendiri. Saya kurang mengenali mereka secara rapat dan mereka mahu mengenali saya secara rapat. Ini benar-benar menakutkan saya. Komuniti ini datang dalam pelbagai versi, baik dalam bentuk kenalan, kawan, sahabat dan teman. Ada sempadan yang membataskan pada makna-makna perkataan tersebut yang rata-rata kurang difahami oleh semua orang. Ya benar, saya mendapat ramai kenalan dari blog saya yang mengenali saya secara luaran sahaja, begitu juga dengan kawan yang mengenali saya secara luaran tetapi lebih sedikit rasa selesa saya untuk mengenali mereka juga dan sahabat yang mengenali saya secara luaran dan dalaman serta boleh berkongsi cerita masalah bersama. Teman ? setahu saya belum lagi dan mungkin juga jawapannya ada pada mereka. Mereka ini memberikan impak yang cukup besar dalam hidup saya sendiri.
7. Apakah masa depan dan halatuju penulisan weblog saudara?
Kini tulisan saya dibaca oleh para penggiat seni, baik seni teater, filem dan muzik juga tenaga produksi Akademi Fantasia. Ada beberapa di antara mereka yang saya kenal dan mengenali saya secara peribadi. Apakah saya sudah cukup puas apabila mendapat tahu yang tulisan saya sudah dibaca oleh mereka ? Saya katakan saya belum puas. Apa yang saya inginkan adalah cadangan-cadangan saya itu diterima dan diperdebatkan oleh mereka. Seboleh-boleh saya mahu menyertai mereka untuk membuat perubahan tersebut.
Saya mahu membikin filem saya sendiri, saya mahu menulis lirik lagu sendiri (lirik untuk penyanyi lain bukan saya penyanyinya), saya mahu berlakon teater sendiri (ini sudah saya lakukan dan malang sekali bagi pembaca saya kerana ia dipentaskan pada tahun 2003 sebelum saya dikenali) dan juga saya mahu menerbitkan program Akademi Fantasia seperti yang saya mahukan. Kalau selama hari ini saya memberikan komen tentang sesuatu isu, maka saya mahu berusaha agar komen-komen tersebut diterima-pakai oleh penggiat seni dan penjana industri hiburan tempatan. Sebelum ini saya memberikan komen berdasarkan pandangan dari orang luar yang tidak terlibat secara langsung dalam bidang tersebut, maka selepas ini saya mahu memberikan komen sebagai mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang itu.
Saya tidak mahu menjadi pengkritik sampai bila-bila, sebaliknya saya mahu menjadi enjin perubahan tersebut satu hari kelak. Dengan kata lain, kritik dan buat. Bukan kritik dan duduk diam.
8. Kalau dahulu Sultanmuzaffar hanya dikenali melalui penulisannya. Tetapi kini Saudara bukan sahaja dikenali sebagai penulis blog, tetapi juga melebarkan sayap ke kaca tv dan radio. Sudah ada peminat sendiri dan saya percaya kalau keluar di khalayak ramai, saudara mudah dikenali. Bagaimana dengan privasi Saudara? Komen Sedikit?
Bila saya keluar rumah saya tidak pernah anggap akan ada orang yang kenal saya. Bila saya berjalan di tempat-tempat awam, saya tidak pernah menganggap mereka sedang memandang saya kerana mengenali saya. Bila ada yang kenal dan tegur, saya akan menerima teguran dan melayan mereka sebaik mungkin. Saya jenis yang berjalan laju tidak pandang sekeliling. Kalau ada yang berbisik-bisik (kalau ada) pun saya tidak akan sedar dan perasan. Berdasarkan komen-komen yang saya terima dari kalangan pembaca, agak sukar juga untuk mereka mendekati saya kerana raut wajah saya yang agak serius (kata mereka). Badrul sendiri pernah mengatakan yang saya seperti orang bisu apabila kali pertama bertemu dengan saya. Saya lebih suka dan selesa untuk tidak dikenali. Selain daripada itu ada beberapa aktiviti yang sering saya lakukan dahulu, kini tidak dapat saya lakukan kesan daripada pendedahan tersebut. Tetapi saya selesa dengan perubahan ini.
9. Apakah harapan saudara dengan majlis AWET dan Perhimpunan Geng Jurnal 2005?
Saya mengharapkan agar majlis AWET dan Perhimpunan Geng Jurnal 2005 akan berjalan dengan lancar dan setiap pihak mendapat manafaat daripadanya. Jika ditanya satu impian saya terhadap Geng Jurnal, saya ingin sekali melihat gabungan ini tidak hanya sekadar menjadi tempat bertemu dan berkenalan tetapi lebih daripada itu. Gabungan ini mampu untuk membawa perubahan kepada pandangan masyarakat yang blogger bukan sekadar untuk berseronok-seronok tetapi juga melihat persekitaran kita dengan pandangan yang lebih bernas dan pelbagai pihak (yang bernasib baik atau pun yang kurang bernasib baik) mendapat sebahagian daripada manafaatnya..
10. Harapan Saudara kepada kelompok penulis blog yang baharu?
Mereka boleh bebas menulis apa sahaja yang ingin mereka tulis tetapi mereka perlu tahu kesan dari penulisan mereka itu. Jika ada yang terus-terusan menggunakan hak asasi sebagai asas untuk terus menulis apa sahaja tanpa memikirkan kesannya maka tentu sekali akan berlaku beberapa kesan yang tidak begitu positif dan jika kesannya lebih besar daripada itu, bencana mungkin boleh berlaku.
Saya pernah terlanjur satu ketika dahulu apabila merasakan diri begitu besar dan perlu diberikan lebih perhatian. Saya pernah menyiarkan email jawapan seorang kakitangan ASTRO tentang pass untuk Konsert Akhir Akademi Fantasia 1. Kesan daripada penyiaran email tersebut tidak membawa sebarang kebaikan, sebaliknya keburukan. Apabila emosi saya menguasai diri dan sifat besar kepala itu membuak-buak menyerlah dari dalam diri, serta disokong oleh sekumpulan pembaca yang turut memberikan reaksi berlandaskan emosi (walaupun niat mereka adalah untuk membantu saya) lalu tiada hasil yang dapat diperolehi di penghujung masalah tersebut. Sejak kejadian itu, saya merasakan perlunya mempunyai sifat rendah diri dan tidak mengharapkan balasan besar atas apa yang telah saya lakukan secara tidak sengaja pada awalnya. Kesan daripada itu, hasilnya datang satu-persatu tanpa saya minta hari ini. Kalau saya perlu menunggu tiga tahun untuk hasil tersebut, saya akan tunggu.
Apabila penulisan kita mula menjadi bacaan dan tumpuan umum, kelompok pembaca juga akan menjadi semakin besar. Maka, tanggungjawab kita terhadap pembaca juga secara magisnya akan menjadi lebih besar. Oleh itu, ketepikan sifat besar kepala kita dan didiklah mereka dengan tulisan-tulisan yang bernas dan positif.
11. Dengan siapa Saudara berskandal sekarang?
No comment ! Hahaha !
..................
Aku ternanti-nanti kalau ada kelibat dia hadir. Tetapi hampa. Mungkin dia sibuk dengan kehidupannya.
|
posted by rudy bluehikari @ 1:50 AM |
|
|
Sunday, January 01, 2006 |
SHINNEN 新年 |
Akemashite Omedetou Gozaimasu!
Selamat tahun baharu!
Lena. Aku lena panjang. Hampir dua tahun menyepi. Kehidupan aku tidak seperti dahulu. Dahulu seorang, kini aku bertiga. Ada penyeri dalam hidup, meski kesakitan masih berbaki. Ya, hidup perlu diteruskan. Aku mesti melawan dan terus berjuang mencari penawar. |
posted by rudy bluehikari @ 1:30 AM |
|
|
|
|