Thursday, November 30, 2006
AJAIB
Benarlah kata orang; jodoh, pertemuan dan perpisahan adalah lantaran ketentuan Tuhan. Dua jiwa yang tidak pernah saling mengenali akhirnya menjadi satu. Zaman ini zaman penuh kebebasan memilih pasangan. Sudah jarang ibu bapa menjadi penentu jodoh anak-anak.

Benarlah seperti kata seorang sahabat, lewat penulisannya di blog;

"Dua jiwa yang tidak pernah saling mengenali. Hanya ditemukan oleh perancangan keluarga.......... Tetapi diakhiri dengan senyum yang membunga."

Bob, Tahniah! Aku doakan perkahwinan ini berakhir dengan cerita kebahagiaan hingga ke akhir hayat! InsyaAllah, Januari ini aku hadir ke majlis raja seharimu.
posted by rudy bluehikari @ 11:49 PM   1 comments
KHAMIS MALAM JUMAAT
Mesej aku kepada seorang rakan;

"Malam ini kau tak boleh keluar rumah. Kau SUNAT berahi dengan isteri. Tapi, walaupun isteri aku jauh,akupun tak boleh keluar malam ini. Sebab? Sebab aku WAJIB berahi dengan buku-buku. Esok aku ada peperiksaan PTK!"

Dia; "Huh!"
posted by rudy bluehikari @ 4:04 AM   3 comments
Wednesday, November 29, 2006
MAHU SIHAT
Alhamdulillah. Rasa tidak selesa di perut sudah kebah sedikit. Terima Kasih dan syukur kepada Allah. Rutin hidup selama setahun ini memang tidak menentu. Ada kawan bertanya sama ada aku abaikan makan. Dulu ya, aku akui. Tapi sekarang atas nasihat doktor aku perlu berubah. Terpaksa ambil makanan kerap tapi dalam jumlah yang sedikit.

Rutin aku awal pagi sebelum ke pejabat, sudah meneguk milo nipis campur susu kurang manis yang dicampur dengan oat.

Kemudian jam sembilan ambil mee atau bihun goreng atau bubur nasi dalam satu senduk. Juga segelas coklat panas tanpa gula. Tengahari biasanya ambil nasi satu cawan, sayur dan ayam/ikan. Aku sudah elak daging merah, makanan laut dan masakan bersantan (tahap kolestrol aku tinggi!). Tetapi tidaklah sampai tidak ambil langsung. Kalau teringin sangat aku ambil dalam sekeping/seekor dua. Air suam jadi kelebihan.

Malam? Selalunya aku makan antara jam 6.30 petang hingga 8 malam. Lepas tu aku banyak minum air suam. Kalau lapar sangat, aku ambil susu dan sekeping dua biskut/roti sebelum tidur. Itu rutin aku setiap hari.

Habis makanan/minuman "ruji geng sol-jah" kau tak belasah? Tanya seorang sahabat jurnal. Apa ya makanan/minuman "ruji geng sol-jah"? Teh tarik, roti canai dan nasi lemak? Oh, aku ambil juga tapi dalam kuantiti yang sedikit. Seminggu sekali sahaja!

Tetapi kelemahan aku ialah, aku jarang ambil makanan tepat pada waktunya. Bila terlewat, angin sudah masuk perut dan akhirnya menyusahkan aku dengan ubat-ubatan yang sepatutnya aku tidak perlu makan!

Sekarang aku sudah diperkenalkan dengan minuman mengenyangkan tetapi MAHAL harganya. Pernah dengar HERBALIFE? Sedap sangat!
posted by rudy bluehikari @ 11:48 PM   3 comments
Sunday, November 26, 2006
GASTRIK
Sakit bila datang memang memeritkan. Antara sakit yang nyata dan tidak nyata aku jadi sangat keliru. Ironisnya, aku seperti terkena gastrik, perih di ulu hati berselang-seli dengan sendawa angin. Tetapi dengan impak sakit yang datang dari serangan ghaib, menambahkan lagi keperitan itu.

Pagi ini aku ke Klinik. Doktor sarankan aku buat ECG untuk periksa sekali jantung. Alhamdulillah, jantung tiada masalah. Doktor suspek aku kena minor gastrik dan angin. Dua jenis ubat diberi dan aku kena berehat sehingga khamis. Minggu depan kena pergi jumpa dia lagi. Kalau tidak kurang dia sarankan aku buat scoop untuk tengok ulser perut. Harapnya tidak sampai jadi ulser.
posted by rudy bluehikari @ 7:31 PM   10 comments
Friday, November 24, 2006
KEADILAN
Kehidupan selalunya berubah selepas kita berkahwin. Keadilan dalam rumah tangga bukan setakat adil kepada isteri dan anak-anak, tetapi kepada keluarga kedua-dua belah pihak; keluarga sendiri dan keluarga mertua. Kadangkala kita tersepit dengan keadaan tersebut.

Mahu tidak mahu prejudis pasti timbul sama ada di pihak kita; isteri/suami/anak-anak ataupun di pihak keluarga kita. Inilah cerita yang dibawa sahabat baik aku. Katanya, sejak berkahwin dia serba salah kerana kesukaran untuk membahagikan masa untuk isteri/anak-anak dan keluarga tercinta.

Aku bagi jawapan paling mudah. Buat yang terbaik. Cubalah bersikap adil dengan semua. Sementara kita ada mak dan ayah di dunia ini, selagi itulah kita berbakti. Aku tidak mahu jadi anak yang tidak mengenang budi. Kerana itu, aku sayang keluarga aku dan keluarga mertua. Sekerap mungkin boleh aku nak tengok wajah mak/mak mertua dan abah/abah mertua. Kerana itu, walaupun kampung suri nun jauh di Pantai Timur, aku tetap mahu balik ke sana sekerap mungkin. Lagipun, bekerja di kota metropolitan memang stress. Lari dari kesibukan Kota Lumpur ke Pantai Timur memang mendamaikan!

Ya, Keadilan untuk mereka ini perlu ada. Kerana tanpa mereka, siapalah kita pada hari ini.

Itu baru berkahwin satu. Cuba bayangkan kalau berkahwin lebih daripada satu!
posted by rudy bluehikari @ 12:07 AM   9 comments
Thursday, November 23, 2006
KORBAN DAN HIJRAH
Akhirnya penantiannya berakhir. Selepas berhempas pulas untuk mendapat kerjaya tetap, akhirnya dia berjaya. Kerjaya yang didambakannya bersesuaian pula dengan bidang pengajiannya. Alhamdulillah.

Tetapi, mendapat apa yang dihajati, bukan sampai di situ sahaja. Timbal baliknya, amat memeritkan. Pengorbanan perlu dilakukan. Ya, dia akan berhijrah ke utara. Diarahkan bertugas nun di utara semenanjung, jauh di pedalaman!

Aku bakal kehilangan seorang sahabat. Sahabat yang berkongsi rasa dan bicara. Sedih? Jadi lumrah. Masih ingat kata-kata mak angkat Jepun aku dahulu? AU WA WAKARE NO HAJIME NARI! Pertemuan adalah permulaan bagi perpisahan.

Ambillah semangat Muhamad SAW berhijrah dahulu.

Selamat berhijrah sahabat!
posted by rudy bluehikari @ 8:24 PM   2 comments
Wednesday, November 22, 2006
AMIN I'RWAFY




Alhamdulillah, cucu mak yang ketiga, AMIN I'RWAFY selamat dilahirkan semalam 21 November 2006 jam 2.30 petang secara normal. Berat semasa dilahirkan 3.24kg. Panjang 34cm. Sekarang Mak sudah ada tiga cucu yang semuanya HERO!Moga-moga kelahiran ini menyemarakkan rasa cinta kami sekeluarga!
posted by rudy bluehikari @ 4:36 PM   9 comments
Tuesday, November 21, 2006
RINTANGAN




Memang benarlah kata Tuhan. Syaitan dan Iblis akan terus mengganggu manusia walau di ceruk manapun manusia berada. Jauh aku berkelana minggu ini. Melaksanakan arahan tugas untuk sesuap nasi. Pada saat itulah aku diganggu ketika sibuk melaksanakan tugas. Geram pun ada. Tetapi, nasihat Sifu aku pegang. Alhamdulillah, aku pulang dengan selamat meskipun dengan rintangan pelbagai ragam.
posted by rudy bluehikari @ 8:13 PM   1 comments
Monday, November 20, 2006
DIKENALI
Dalam RAPAT 06 di Kg Bharu baru-baru ini, aku ada menyelit satu perbualan antara Tokrimau dengan dua orang pembaca blog. Tokrimau kata dua orang pembaca blog ini sangat dekat dengan aku. Aku mungkin tidak kenal mereka. Tetapi mereka mengenali aku. Kata Tokrimau lagi; satu tempat kerja! :)

Itu lumrah. Bagaimana sekalipun kita menyembunyikan identiti diri, tetapi kalau Tuhan mahu bukakan jalan untuk kita dikenali, maka tiada siapa yang boleh menghalang. Aku redha sahaja. Kadang-kadang penulisan kita sifatnya sangat peribadi. Ada menyentuh kerjaya. Dan ada di kalangan pembaca juga yang aku tidak kenal adalah sebahagian daripada organisasi kita sendiri.

Inilah risiko penulisan blog. Tapi, sejauh mana kita membuat penapisan dalam tulisan sendiri, terpulanglah kepada empunya blog. Kepada pembaca yang sangat rapat dengan aku,(selalu bertembung mata di lif dan tangga), aku alu-alukan kalian. Ambil mana yang baik sahaja. Yang buruk di bluehikari jadikan sempadan.

Aku ini manusia. Lemah segala-galanya. DIA sahaja yang berhak dan berkuasa atas segala-galanya.
posted by rudy bluehikari @ 7:39 PM   1 comments
Sunday, November 19, 2006
KAPUR BARUS
Pejabat baharu aku tidak siap renovasi lagi. Aku berkongsi pejabat dengan Min.

Pagi ini. Kecoh satu pejabat. Min masuk pejabat. Dia mengadu dengan aku terbau kapur barus. Staf-staf aku sudah mula bising. Seorang demi seorang masuk untuk cuba menghidu.

Ironisnya, aku tidak langsung terbau kapur barus seperti yang diperkatakan. Hidung aku sumbat agaknya.

Aku duduk diam-diam. Aku bisik dalam hati; "Ini bukan urusan aku".
posted by rudy bluehikari @ 5:12 PM   2 comments
Friday, November 17, 2006
SAYAPKAN AKU


posted by rudy bluehikari @ 1:40 AM   5 comments
Thursday, November 16, 2006
NARUTO: SEMBILAN BONTOT MUSANG
Aku: Kau tahu nama Naruto yang penuh?

SI: Uzumaki Naruto. Nama Keluarga orang Jepun family di hadapankan?

Aku: Ya. Aku nak panggil kau UZUMAKIlah lepas nih.

SI: Bukanlah. Aku "9 tails fox"!

Aku: Apa tuh?

SI: "9 tails fox" tu kuasa yang diletakkan dalam badan Naruto oleh Hokage Keempat.

Aku: OK. Mulai hari ini aku panggil kau "SEMBILAN BONTOT MUSANG"lah! Ha! ha! ha! ha!

SI: Cis! Musang Berekor Sembilanlah! Grr...
posted by rudy bluehikari @ 8:10 PM   0 comments
Tuesday, November 14, 2006
DUGAAN
"Dugaan terindah buat diri rasa terarah.", Dia.

"Dugaan tak selalunya indah. Seringkali payah. Dari layah keperitan itu kita memandu hidup terarah kepada Allah", Aku.

Dia bungkam. Aku diam. Kita hanya hamba.

Kita hanya debu dari pandanganNya.
posted by rudy bluehikari @ 1:53 AM   2 comments
Friday, November 10, 2006
LANGIT




Kata kawan aku; "tinggal hanya langit lesu dan bisu"

"langit tak lesu tapi sendu. Waktu ini, ada titis gerimis menangis", Aku.





Katanya lagi;
"hari ini dan lusa,
bagiku sama saja,
akan kuLukisLangitMerahJingga
dengan namamu yang penuh makna"

"Ya, sama. Sejak dua ribu satu, saban waktu aku diamuk gagasan duga.
Perit dan sakitnya, hanya Tuhan yang tahu. Siapa tidak mahu kebah. Tapi, hingga saat itu aku takkan berhenti untuk usaha. Doakanlah!", Jawabku tanpa geleng. Yakin.

* terima kasih Meer & Insyirah untuk ilustrasi & foto yang hebat.
posted by rudy bluehikari @ 12:07 AM   6 comments
Wednesday, November 08, 2006
MENANTI
Jam lima empat puluh petang. Kad Perakam Waktu sudah lama berbunyi riang sejak empat puluh minit yang lalu. Tiba-tiba mesyuarat sengaja diganggu oleh bunyi pesanan ringkas milik seseorang, sebagai tanda protes!

Nik: "Mengakhiri batas waktu"

Aku: "Menanti mesyuarat diakhiri"

Huh!
posted by rudy bluehikari @ 1:21 AM   2 comments
Monday, November 06, 2006
"SENTUH DAN PERGI"
Kamu duduk bersebelahan pemandu. Jauh ke utara berjalan pastinya lebuhraya jadi pilihan. Kononnya untuk memudahkan supaya tidak berbaris panjang di plaza tol. Kad "sentuh dan pergi" digunakan.

Tapi apakan daya, pemandunya orang yang pertama kali menggunakan kad "sentuh dan pergi". Tersilap kira, sungguh jauh benar kereta berhenti dari tempat kad perlu disentuh. Pemandu membuka tali pinggang keledar, tangan masih tak sampai. Otak berfikir ligat, segera plan kedua diguna pakai. Pemandu buka pintu. Alamak, kerusi terlalu ke hadapan, lantas membataskan pergerakan pemandu untuk keluar dek terkepit stereng pemanduan.

Akhirnya? Akhirnya kereta di belakang sudah berbaris panjang (Nasib baik, kenderaan panjang di belakang tidak bunyikan hon). Sedang sang pemandu masih terkial-kial menghulurkan tangan. Kamu yang termangu-mangu di tempat duduk sebelah pemandu segera mengambil tindakan refleks. Ambil kad "sentuh dan pergi" dari tangan pemandu dan segera membuka pintu. Berlarilah kamu ke panel sentuh dan "pit pit" bunyi palang automatik terbuka. Kamu balik semula ke tempat duduk sebelah pemandu dengan muncung dua kilometer, dek diperhatikan mata-mata dari barisan panjang kenderaan di belakang kamu.

Arghhhh! Malunyaaaaa..... :p
posted by rudy bluehikari @ 8:59 PM   9 comments
Sunday, November 05, 2006
JAM DUA PAGI
Ini ada satu situasi. Katakanlah isteri kau tiada di sisi. Jauh berkelana kerja luar daerah. Kau seorang suami melangut bujang sementara di rumah. Anak pula di kampung diulit kasih nenda.

Malam itu malam Jumaat.

Kau terjaga terpisat-pisat jam dua pagi dek tak selesa terlupa menanggalkan kanta sentuh. Lalu kau buka kanta sentuh dan mapan untuk tidur semula. Tapi, sebaliknya mata tidak juga mahu pejam. Terkebil-kebil. Kepala menerawang fikir yang bukan-bukan.

Apa kau akan buat?
posted by rudy bluehikari @ 7:39 PM   3 comments

RUDY BLUEHIKARI
dari Banting ke Fukushima
Winner of Geng Jurnal Best Weblog Award 2001
Terkini
Arkib 2006
Arkib

 

Links
Karya


    Buku kompilasi entri 20 penulis blog terbitan MINE. Hubungi saya di vicenata2000 [at] yahoo [dot] com untuk mendapatkan buku ini.


    Novel bersama kedua saya hasil tangan Sri Diah, MBA, Rudy Bluehikari dan Ibnuariff sudah berada di pasaran sekarang. Terbitan Alaf 21.


    Novel Bersama sulung saya hasil tangan 23 penulis terbitan esastera.com.


    Buku kompilasi entri penulis blog terbitan MINE. Hubungi saya di rudy [at] bluehikari [dot] com untuk mendapatkan buku ini.

Powered by

Free Blogger Templates

BLOGGER