Wednesday, June 28, 2006
E-BOOK MOPLANTAI



Alhamdulillah, Tuhan izinkan aku menyiapkan e-book Moplantai yang boleh di download secara percuma di http://ebook.bluehikari.com.

Aku juga sedang kerjakan ebook bluehikari 2003 jilid ll dan 2004. Terima Kasih kepada Mat Jan, Kak P-nut dan Nik Iwan atas kesudian menulis Kata Pengantar untuk ketiga-tiga buku yang sedang dan telah aku kerjakan ini.

Jazakallah!
posted by rudy bluehikari @ 7:30 AM   7 comments
Sunday, June 25, 2006
KEGEMBIRAAN


Alangkah baiknya jika kegembiraan ini adalah kegembiraan untuk selama-lamanya. Ya, aku bermimpi untuk sihat kembali seperti 5 tahun dahulu. Aku tidak perlu fikir lagi apa-apa sahaja rasa sakit yang menebal di dada dan kepala. Sering mencucuk-cucuk tanpa aku pasti di mana tajam jarumnya.

Ya, kegembiraan hanya akan abadi tika di sana. Tika Tuhan menjanjikan kita syurga. Tika kaki kita melangkah pintu syurga!

* Terima Kasih sahabat-sahabat yang menceriakan Hari Weblog Sedunia 2006.
* Kredit ND untuk gambar yang ceria.
posted by rudy bluehikari @ 6:40 PM   10 comments
Tuesday, June 20, 2006
DUA BELAS TAHUN


Aku dan Suri. Kami singgah di R&R Tapah. Tekak aku kelat sehinggalah aku mengambil kata putus untuk makan di KFC sahaja. Aku beratur panjang. Panas-panas begini agaknya ramai yang tidak mahu mengisi perut dengan nasi.

Ketika beratur itu aku terpandang seseorang yang aku rasa aku kenal. Dia juga melirik aku. Aku mencongak-congak. Siapa?

Selesai membayar dan mendapat hidangan yg dihajati aku duduk. Kali ini aku setentang dengan bapanya. Loghat Kelantan kedengaran jelas ketika bapanya berbual. Memang tidak salah. Kerana aku kenal bapanya. Aku masih ingat. Ketika itu dia datang mendaftar masuk ke sekolah aku (aku bertugas membantu pendaftaran pelajar baharu) dengan Bapanya. Bapanya minta tolong aku uruskan dia sambil menyerahkan berhelai-helai not kertas warna ungu kepada aku. Katanya, kalau ada lebih beri kepada anaknya semula. Ada mesyuarat kata bapanya. Perlu bergegas balik ke Kota Lumpur dengan segera. Aku terpinga-pinga. Bapa macam inipun ada juga. Aku fikir. Bulat-bulat. Kasihannya budak ini! Aku selesaikan urusan pendaftaran dia sehinggalah dia masuk ke bilik asramanya.Selepas itu baharu aku tahu, siapa bapanya. Siapa tidak kenal bapanya; bergelar Tan Sri dan salah seorang peneraju syarikat permodalan besar milik kerajaan. Patutlah sibuk semacam sahaja. Aku suka dengan sikap bapanya yang sangat merendah diri. Membahasakan dirinya Pak Cik sahaja!

Sejak itu kami rapat. Hinggalah aku tamat tingkatan lima tahun 1994. Itulah kali terakhir aku jumpa dia. Ada juga menelefon sekali dua. Tetapi, kekangan pengajian aku di Fukushima dan dia di UK mengekang keakraban kami.

Aku tengok dia. Dia tengok aku. Tiba-tiba dia bangun. Dia menuju ke meja kami. Aku ikut sama bangun. Kami berjabat erat! Hampir dua belas tahun tidak berjumpa!

Dia perkenalkan isterinya dan puteranya yang sudah menginjak usia tiga tahun (dia kahwin awal). Aku perkenalkan suri. Sayang Sicilik tidak turut serta. Kami bertukar-tukar nombor telefon. Sebelum dia mengundurkan diri meneruskan perjalanan.

Ya, sekurang-kurangnya ada benarnya kata pepatah Jepun yang mak angkat aku sebut dulu; AU WA WAKARE NO HAJIME NARI! (Setiap pertemuan adalah permulaan bagi sebuah perpisahan).
posted by rudy bluehikari @ 1:01 AM   7 comments
Monday, June 19, 2006
KUBANG NIPAH


Terima Kasih Kubang Nipah.
Ada rezeki bertemu lagi.
posted by rudy bluehikari @ 7:25 PM   4 comments
LAKSA SARAWAK


Kau pernah bayangkan bagaimana laksa sarawak boleh naik belon di bawa ke Semenanjung tanpa basi hingga seorang kawan aku yang suka bawa kancilnya laju-laju kempunan? Teknologi sekarang memang canggih. Tanpa belon besi yang boleh terbang dalam kurang masa 2 jam, tidak mungkin aku boleh merasai nikmat Laksa Sarawak yang enak ini, tanpa perlu ke Satok. Tidakkah kita berterima kasih kepada teknologi?

Ironisnya, ada kawan aku yang sentiasa sibuk terbang sana-sini datang ke Kuala Lumpur untuk berkursus, mengirimkan aku laksa sarawak. Memang sedap! Kalian pernah cuba?

* Belon = kapal terbang
* Ada sesiapa tahu restoran masakan Sarawak di KL?
* Laksa Sarawak dari perspektif orang Semenanjung
posted by rudy bluehikari @ 5:54 PM   9 comments
Thursday, June 15, 2006
BULAN PENUH
Alangkah baiknya jika
kesakitan maha panjang ini
menemui penghujungnya.
Lama. Sungguh lama.
Tak tertanggung rasanya.
Cepatlah masa berlalu.
Penawar di manakah engkau?
Tuhan, tunjukkan aku jalan.

* waktu bulan mengambang penuh adalah waktu-waktu kritikal
kesakitan ini. sabar.sabar atas sabar Rudy.
posted by rudy bluehikari @ 8:23 PM   13 comments
Wednesday, June 14, 2006
MONOLOG PAGI
(tulisan ini ilham dari entri Monolog Pagi Tokrimau)

MONOLOG PAGI 1

Tarikh: Malam Dulu-dulu
Posisi: Aku. Sicilik. Suri.
Masa: Jam 4 pagi juga.

Sicilik: Waaa! Waaa! Waaa! (Mata pejam, suara gegak gempita sampai menggegarkan 4 blok bangunan 4 tingkat di puncak bukit dengan kaki menunjal-nunjal badan aku. Adoi!)

Suri: (tidur mati)

Aku: Dinda, bangunlah. Sicilik nak susu (Sambil cucuk-cucuk pinggul Suri)

Suri: Hurm...hurm...hurm... (sambung tidur)

Sicilik: Waaa! Waa! Waa! (Makin kuat dan menjadi-jadi suaranya)

Aku: (bangun dengan malas. 6 scoop susu. 1 scoop nestum beras). Tuang air panas campur sedikit air sejuk ke paras 6. Goncang. Goncang. Goncang. Sumbat ke mulut sicilik).

Sicilik: (Dia sudah merajuk daaa....mulut bagai dikunci, tangan menepis-nepis botol susu. Merajuk sebab lambat dapat susu)

Aku: (Angkat ke riba. Pujuk-pujuk. Akhirnya berjaya menyuap ke mulutnya).

Suri: (Nyenyak tidur)

+++++

Masa: Esoknya jam 6.30 pagi.

Suri: Ajaib ya Kanda. Sicilik tak bangun minta susu malam tadi!

Aku: Hurm...yalah!

MONOLOG PAGI 2

Tarikh: Malam Semalam
Posisi: Aku. Suri. Sicilik
Masa: Jam 4 pagi juga.

Sicilik: Waaa! Waaa! Waaa! (Mata pejam, suara gegak gempita sampai menggegarkan 4 blok bangunan 4 tingkat di puncak bukit dengan kaki menunjal-nunjal badan Suri!)

Aku: (tidur mati)

Suri: (bangun dengan malas. 6 scoop susu. 1 scoop nestum beras). Tuang air panas campur sedikit air sejuk ke paras 6. Goncang. Goncang. Goncang. Sumbat ke mulut sicilik).

Sicilik: (Hisap susu dengan lahap)

Aku: (Nyenyak tidur!)

Yay, berjaya juga aku trick ubah posisi tidur!
posted by rudy bluehikari @ 9:07 PM   15 comments
Tuesday, June 13, 2006
OH NAKATA!

Jepun buat satu kesilapan bodoh dalam saingan Piala Dunia 2006 semalam. Kalah 3-1 kepada Australia pada minit-minit terakhir adalah sesuatu yang di luar dugaan. Mengejutkan! Ironisnya, tahukah anda? Nakata sudah membuka sebuah cafe di Omotesanno, Tokyo. Adalah lagi baik dia berhenti bermain bola dan menjadi seorang pengusaha restoran yang berjaya! Tengok Nakata bancuh air lagi bagus daripada tengok dia main bola!
posted by rudy bluehikari @ 7:39 PM   5 comments
Monday, June 12, 2006
INGAT LIMA
Aku dengar satu iklan di sebuah stesen radio yang dinobatkan baru-baru ini menjadi radio nombor wahid pendengar mendengarnya di Malaysia. Iklan tentang LIMA perkara yang tidak boleh dilupakan. Lima perkara yang mesti dan tidak boleh tidak, dibawa ke mana-mana sahaja, waima ke hujung dunia!

Salah seorang pelaku suara dalam iklan tersebut berkata; walau di mana mereka berada, mereka tidak akan lupakan LIMA perkara tersebut. Adalah dua tiga empat orang menyatakan akan kewajipan mereka mengingati LIMA perkara tersebut.

Lima perkara tersebut rupa-rupanya RUKUN NEGARA. Tapi, aku ini berfikir lebih jauh daripada itu. Aku fikir LIMA yang paling aku tidak boleh lupa ialah SUBUH-ZUHUR-ASAR-MAGHRIB-ISYAK! :)
posted by rudy bluehikari @ 2:08 AM   5 comments
Sunday, June 11, 2006
LX40 030 094 7MY
Kali ini aku teruja. Jam satu lima puluh petang sebelum Poss Ekspress dikutip dari tong kuning di hadapan pejabat, aku masukkan LX40 030 094 7MY ke alamat pembeli JK. Esok seawal pagi, aku terima emel daripada pembeli yang ianya sudah sampai ke tangannya. Oh! Sudah cekapkah perkhidmatan mereka. Ya. Ya. Aku terima kecekapan untuk kes kali ini. Konsistenkah mereka kalau aku pos kali ketiga? Tunggu.
posted by rudy bluehikari @ 1:17 AM   4 comments
Thursday, June 08, 2006
SETAPAK KUBUR MENDEKAT


Alhamdulillah dipanjangkan umur setahun lagi. Moga-moga Allah berikan rahmat, rezeki dan kesihatan untuk memacu terus hidup.

Terima Kasih kepada seorang sahabat yang mengirimkan sebiji kek enak menurut Suri. Aku bercuti sakit tujuh dan delapan haribulan gara-gara selsema, batuk dan tonsil. Jadinya aku hanya merasai kek itu dengan kekurangan deria bau.

Oh ya! Terima kasih ucap selamat daripada semua. SMS bertalu-talu masuk seawal jam dua belas tengah malam tetapi, pada waktu itu aku sudahpun belayar dalam mimpi dek penangan ubat selsema yang efeknya kantuk hebat.
posted by rudy bluehikari @ 9:27 PM   7 comments
Sunday, June 04, 2006
24 BULAN


Ijad, Ucop Pikor dan Nikiysa.

Seumur hidup aku, tiga sahabat inilah yang akan aku ingat.

Kenal dengan DIA pada ketika kami diduga dengan kegagalan hubungan dengan pasangan masing-masing. Kisah hubungan kami agak singkat. Bermula dengan pertemuan yang diatur oleh mereka bertiga. Di tangga pintu masuk Hotel Plaza Alor Setarlah kami dipertemukan. Aku melirik dia sebelum masing-masing bertembung mata.
Malu.

Jauh sekali untuk disamakan dengan Laila dan Majnun. Hubungan kami hanya setakat kawan sehinggalah 2 tahun kemudian kami disatukan. Cinta kami berputik selepas berkahwin. Kehadiran sicilik menguatkan lagi kasih-sayang kami 9 bulan selepas ikatan sekali akad itu dilafazkan. Alhamdulillah.

Hari ini pada tanggal ini, genap 24 bulan usia perkahwinan kami. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar meskipun keadaan kesihatan aku agak tidak mengizinkan. Aku bahagia dikurniakan keluarga kecil ini, meskipun tahun 2006 menyaksikan kami bertiga berjauhan demi masa hadapan DIA yang mahu bergelar seorang pendidik.

Moga-moga Tuhan memberikan kami kebahagiaan. Dunia. Akhirat.
posted by rudy bluehikari @ 11:56 PM   6 comments

RUDY BLUEHIKARI
dari Banting ke Fukushima
Winner of Geng Jurnal Best Weblog Award 2001
Terkini
Arkib 2006
Arkib

 

Links
Karya


    Buku kompilasi entri 20 penulis blog terbitan MINE. Hubungi saya di vicenata2000 [at] yahoo [dot] com untuk mendapatkan buku ini.


    Novel bersama kedua saya hasil tangan Sri Diah, MBA, Rudy Bluehikari dan Ibnuariff sudah berada di pasaran sekarang. Terbitan Alaf 21.


    Novel Bersama sulung saya hasil tangan 23 penulis terbitan esastera.com.


    Buku kompilasi entri penulis blog terbitan MINE. Hubungi saya di rudy [at] bluehikari [dot] com untuk mendapatkan buku ini.

Powered by

Free Blogger Templates

BLOGGER