Monday, August 28, 2006
TERIMA KASIH ATAS JEMPUTAN




posted by rudy bluehikari @ 12:34 AM   6 comments
Tuesday, August 22, 2006
KESEDIHAN DAN KEGEMBIRAAN
Ya, cerita-cerita di sini adakalanya cukup menyedihkan. Begitu kata seorang sahabat yang seringkali berasa 'sesuatu' selepas menghalusi bait-bait tulisan di sini. Tetapi, disebalik segala kesedihan dan kepayahan yang aku lalui, ia sedikitpun tidak pernah mengurangkan kegembiraan dalam hidup yang aku lalui saat ini.

Tak begitu sahabat?

* Salam tahniah kepada SN. Moga-moga jodohmu dipanjatkan ke akhir hayat. Terima Kasih atas jemputan. InsyaAllah dua puluh lapan haribulan ini, aku hadir meraikan di dewan utama.
posted by rudy bluehikari @ 7:18 AM   9 comments
Wednesday, August 16, 2006
MAHLIGAI CINTA
MAHLIGAI CINTA (nama asal: JANGAN ADA DENDAM), Novel usaha sama Sri Diah, MBA, Rudy Bluehikari, Ibnu Arif dan Eyes akan terbit tidak lama lagi. E-novel ditulis satu bab hingga lima bab oleh mereka (kecuali MBA, babnya lebih sikit) diadun-adun semula, ditokok tambah supaya lengkap plot dan wataknya. Agak tebal juga. mencecah 510 halaman. Di e-novel asalnya hanyalah 120 halaman sahaja. Novel ini bakal diterbitkan oleh Alaf 21. Nantikan kemunculannya!

Berminat untuk tempahan awal? Hubungi rudy[at]bluehikari.com
posted by rudy bluehikari @ 12:30 AM   7 comments
Friday, August 11, 2006
SAAT-SAAT AKU BERTELEKU
Saat-saat aku berteleku menghadapNya pun aku diganggu. Aku rasa mengah dengan nafas yang tercungap-cungap. Alahhu. Allahu. Allahu. Allahu. Tanpa putus, sambil khutbah berkumandang, aku menahan gelodak sakit di dada. Argh, nafas tidak puas.

Faham. Aku faham Tuhan berikan sakit ini tidak kira waktunya supaya aku sentiasa basah di hati menyebutNya. Aku lalai. Aku selalu alpa. Terlalu dimomok zuhud dunia. Aku selalu lupa, derita orang lain yang jauh lebih teruk daripada aku. Buat sahabat yang sama-sama menderita; Chill, Reen dan Radengaloh, marilah kita sama-sama harungi keperitan ini dengan redha. Kita rengek pada Dia. Kita minta pada Dia. Biar rasa lega sakit yang kita rasa.

Ya Rabb, berikan aku kekuatan. Kekuatan. Kekuatan. Bismillah. Allahu akbar. Alhamdulillah selesai salam Jumaat tadi aku rasa sedikit lapang.
posted by rudy bluehikari @ 12:23 AM   3 comments
Wednesday, August 09, 2006
PUTERI GUNUNG LEDANG THE MUSICAL


Akhirnya selepas Februari lepas melepas untuk menonton persembahan Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang (walaupun 2 tiket sudah ada ditangan tetapi dibatalkan saat-saat akhir dek kekangan kerja yang menghimpit), ia direalisasikan malam semalam. Seharusnya aku berterima kasih kepada Publicity Consultant Puteri Gunung Ledang, kerana niat murni menghadiahkan tiket Puteri Gunung Ledang The Musical di Istana Budaya lewat petang kelmarin kepada 10 blogger yang bernasib baik termasuk aku salah seorang daripadanya. Tiket khas untuk para media dan duduk pula di tingkat atas yang menyaksikan pementasan ini dari pandangan yang luas dan berbaloi.

Pelakon

Secara peribadi aku mengkelaskan 4 pelakon utama PGLTM kepada ranking kedudukan berikut berdasarkan lakonan dan penghayatan watak dengan baik. Tahniah seharusnya aku hadiahkan kepada AC Mizal kerana lakonannya yang cukup mengujakan penonton. Peranannya sebelum ini sebagai pelakon dalam Siri GGK di RTM sering dipertikaikan. Nah! Inilah masanya AC Mizal menjawab tuduhan tersebut. Keduanya sudah tentu Adlin Aman Ramli, bab lakonan Adlin tiada siapa yang boleh menyangkalnya. Beliau bagi aku bukanlah seorang yang tuli seni bak kata seseoang! Aku sendiri agak terkesima dengan kebolehannya menyanyi dan menari. Hampir sebahagian besar penonton memberikannya tepukan gemuruh ketika babak di mana beliau menyanyi dan menari bagi memberi arahan untuk peminangan PGL. Stephen Rahman- Hughes pula tidak menghampakan. Saya dikhabarkan beliau lebih bersungguh-sungguh kali ini mempelajari lenggok bahasa Melayu. Kebolehannya melafazkan kata-kata dan menyanyi agak mengesankan. Kawalan pernasafan beliau dalam nyanyian cukup mengesankan. Tiara pula saya agak terasa kekurangannya. Saya tidak tahu kenapa. Nyanyiannya agak tenggelam punca. Malah kadangkala tidak selari dengan melodi. Walau apapun, Tiara melakonkan wataknya dengan baik.

Sementara Yalal Chin, Sukania dan Hamzah Tahir tidak usahlah kita persoalkan kredibiliti lakonan mereka. Pengalaman luas mereka dalam teater sudah memadai untuk aku sendiri teruja dengan lakonan mereka.

Tatacahaya

Dalam mana-mana teater atau pementasan sekalipun, tatacahaya memainkan peranan penting. Tatacahaya pementasan kali ini memang berjaya. Aku kagum dengan tatacahaya yang cukup selari dengan props yang dibina. Aku perlu arahkan budak-budak teater aku untuk menonton PGLTM bagi menilai faktor pencahayaan yang menjadi aset penting untuk kejayaan sesebuah pementasan. Tetapi pencahayaan ketika waktu di hutan Ledang agak bercelaru, mungkin sifat rekabentuk props hutan tersebut yang bagi aku kurang menjadi.



Tarian

Aku rasa ada sedikit kekurangan dalam tarian. Koreografi mungkin tiada silap, mungkin dari segi kesama-rataannya boleh dilihat semula. Tarian paling mantap ialah semasa Adlin menari di hadapan Istana Melaka, AC Mizal ketika sedang amarah dengan rona merah di atas pentas, PGL menaiki kapal menuju ke Melaka dan ketika babak di Pelabuhan Melaka.

Kostum dan Busana

Kostum secara keseluruhannya baik. Tiada perubahan besar kostum dari satu babak ke satu babak sebab ia mengekalkan baju tradisi Majapahit (berkemban) dari mula pementasan hingga ke akhirnya. Begitu juga kostum untuk orang-orang Melaka dan nenek kebayan.

Muzik

Saya teringat pementasan Puteri Hang Li Po The Muzikal beberapa tahun lepas yang menjadi kekuatan bagi pementasan tersebut. Begitu juga dengan PGLTM. Skor muzik dikepalai oleh Roslan Aziz memang tidak mengecewakan. Ada beberapa babak dimana lagu yang dimainkan meresap ke dalam jiwa. Tetapi, saya lupa. Maknanya saya perlu beli soundtrack PGLTM nanti.

Skrip dan Jalan cerita

Skrip ada kekuatan. Cuma jalan cerita saya rasa semasa babak di Melaka ada sedikit kelembapan. Mungkin ia banyak dipengaruhi babak asyik masyuk PGL dan Hang Tuah melepaskan dendam rindu.

Teknikal

Ada sedikit masalah semasa di awal pementasan dari segi mikrofon yang tidakl berfungsi. Agak mengecewakan. Terutamanya dialog-dialog penting dan semasa nyanyian. Tapi, masalah ini sering berlaku di mana-mana pementasan. Cumanya, saya bernasib baik kerana masalah ini tidak serius seperti mana yang dikatakan rakan saya yang menonton pada hari Ahad sebelumnya.

Sebagai kesimpulan, Aku hargai hasil seni yang dipentaskan walau pun kebenaran epik yang dipentaskan dicantas oleh buku-buku sejarah tempatan dan diragui kebenarannya. Pergilah menonton. Aku pasti kalian tidak akan menyesal.

* kredit gambar dari laman web www.pglthemusical.com.my
posted by rudy bluehikari @ 2:00 AM   5 comments
Monday, August 07, 2006
APA MILIK KITA?
Kata seorang sahabat lewat mesejnya awal dinihari itu -

Setiap kesakitan yang mengalir dalam tubuh adalah restu Allah yang dilontar dalam rasa yang tidak berwaktu. Pedih dan perit umpama istiqamah yang tidak dapat dinilai dengan kalimah sembuh. Kerna, sembuh juga adalah ikhsan dari Allah jua. Jadi, apakah sebenarnya yang menjadi milik kita?


Aku: Ya, kita tidak memiliki apa-apa. Walau sekelumit kudrat pun kecuali dengan ikhsan tenaga dariNya. (Waima ketika aku sedang menaip bait-bait tulisan ini)
posted by rudy bluehikari @ 10:07 PM   4 comments

RUDY BLUEHIKARI
dari Banting ke Fukushima
Winner of Geng Jurnal Best Weblog Award 2001
Terkini
Arkib 2006
Arkib

 

Links
Karya


    Buku kompilasi entri 20 penulis blog terbitan MINE. Hubungi saya di vicenata2000 [at] yahoo [dot] com untuk mendapatkan buku ini.


    Novel bersama kedua saya hasil tangan Sri Diah, MBA, Rudy Bluehikari dan Ibnuariff sudah berada di pasaran sekarang. Terbitan Alaf 21.


    Novel Bersama sulung saya hasil tangan 23 penulis terbitan esastera.com.


    Buku kompilasi entri penulis blog terbitan MINE. Hubungi saya di rudy [at] bluehikari [dot] com untuk mendapatkan buku ini.

Powered by

Free Blogger Templates

BLOGGER