Thursday, October 19, 2006
UCAPAN



Jalan raya ialah penghubung silaturrahim
untuk bertemu dengan sanak saudara.
Bukan sebagai litar lumba.
Salam Aidilfitri Salam Kemaafan.
1427 Hijrah.


ikhlas daripada;
Rudy Bluehikari, Insyirah dan Hiroshi
posted by rudy bluehikari @ 8:40 PM   12 comments
Sunday, October 15, 2006
SRI RAJU vs SRI RAAJU
Mula-mula menonton iklan sempena perayaan diwali 2006 Petronas ini aku terpinga-pinga. Belumpun sempat berfikir iklan sudah tamat. Kali kedua menonton baru aku faham. Papan tanda "entrance" itu menjadi subjek paling penting iklan ini.

Lambat betul "tangkapan" aku.

Kalian nampak?
posted by rudy bluehikari @ 5:26 PM   24 comments
Thursday, October 12, 2006
KAK ANOI DI CANBERRA




Aku masih ingat ketika ke Australia (Sydney-Canberra-Melbourne) atas tuntutan tugas pada tahun 2005, aku dah rasa naik loya dihidangkan dengan masakan India sepanjang 10 hari bertugas di sana. Tekak sudah tidak boleh menerima masakan kari hampir sepanjang hari.

Tetapi kami bernasib baik kerana di semua tempat tersebut dapat juga melepas kerinduan dengan masakan Malaysia meskipun hanya sekali. Di Sydney ada sebuah restoran dinamakan Malaysia On Pitt. Aku lupa dimana, tapi memang berada di tengah-tengah bandaraya Sydney. Kemudian di Bandar Cowboy Pentadbiran Australia; Canberra kami singgah merasa sambal tumis ikan bilis Kak Anoi di Fyshwick. Itupun kami bernasib baik kerana Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang mengesyorkan restoran tersebut kepada kami yang sudah beberapa hari kehilangan mood makan. Di Melbourne kami tidak menghadapi masalah kerana restoran rakyat Melayu Singapura yang berhijrah ke sana banyak dan itulah selepas 10 hari, kami dapat menjamah nasi lemak ayam goreng berempah!





Antara ketiga-tiga restoran ini, Restoran Kak Anoi di Fyshwick, Canberra menjadi sebutan rombongan kami. Keramahannya memang buat kami terpesona. Sempat juga beliau bercerita tentang kehidupannya di Australia sejak berhijrah hampir 20 tahun ke sana. Kak Anoi sempat bekalkan kami sambal tumis ikan bilisnya untuk kami berselera makan selama beberapa hari lagi bekerja di Melbourne kelak.

Kebaikan Kak Anoi mengingatkan aku kepada Cikgu Mansur dan Kak Yati sekeluarga di Nihonmatsu-shi, Fukushima. Keluarga beliaulah yang banyak melepaskan kerinduan kami kepada keluarga tercinta dan masakan Melayu di Malaysia. Selama 4 tahun di sana, merekalah tempat pelajar-pelajar Malaysia melepaskan rindu dan berkongsi cerita selama hidup di perantauan. Oh! Aku masih tidak dapat bayangkan betapa syahdunya berhari raya di Fukushima selama 4 tahun mengaji di sana! Cukuplah 4 tahun! Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri!

Lagi cerita tentang Kak Anoi di Berita Harian.
posted by rudy bluehikari @ 5:33 PM   3 comments
Wednesday, October 11, 2006
NAHOKO?




Bukan. Bukan. Ini bukan Nahoko. Namanya Yui. Begitu kata pelukis muda yang mencipta watak Jepun ini. Roshfaizal namanya.
posted by rudy bluehikari @ 11:46 PM   4 comments
Tuesday, October 10, 2006
KAMI HIKOUKI
"ne, oneechan. Toberu no? kami hikouki.", Adik.
("Abang, terbang ke? Kapal terbang kertas ni?")

"Tobenai yo.", Abang.
("Tak boleh")

" Eee... nande?", Adik.
(eh, kenapa?")

"Datte, mienai yo. Osora", Abang
("Mana nampak. Langit kelabu.")

"Un?", Adik.
("Ha?")

"He-zu da yo. he-zu!", Abang.
(Jerebulah!)
posted by rudy bluehikari @ 7:43 PM   6 comments
Sunday, October 08, 2006
GHAIB
"Ini seekor di ruang tamu rumah", Abang MZ.

"Ini lagi seekor dalam kereta kau", Dia lagi.

"Ini yang terakhir di penjuru kanan 10 kaki di rumah kau", Dia lagi. Lagi.

"Tiga-tiga masuk dalam botol. Duduk diam-diam", Lagi-lagi Dia.

"Yang di dalam badan ini adalah beberapa ekor. Ini semua juga kena masuk duduk dalam botol. Biar dia duduk diam-diam dengan kawan-kawan pengacau dia yang lain.", Abang MZ lagi.

"Ini yang terakhir, seketul kemenyan di tengah-tengah ulu hati kau. Ini pun kena buang juga", Lagi Dia.

"Sakitnya. Wallahhi!" Aku. Berkerut-kerut dahi. Menggigil-gigil badan.
posted by rudy bluehikari @ 4:59 PM   5 comments
Wednesday, October 04, 2006
PERIH LAGI




Beberapa hari ini. Sakit berulang. Tanpa henti. Kadang-kadang pagi. Petang. Atau berturutan tanpa henti semalaman. Badan sebelah kiri; dari kepala ke kaki jadi sangat lemah, kebas dan rasa sakit. Badan bagai belon. Angin sana sini. Sendawa tak pernah henti. Bagai ada lubang menembusi dada berhampiran jantung ke belakang badan. Perih. Sakitnya hanya Tuhan yang maha tahu.

Semalam sejurus sebelum berbuka aku sudah kena penangan. Rasa mahu tumbang. Tapi cekalkan hati. DIAlah yang berkuasa atas sesuatu. Alhamdulillah, sempat menyudahkan terawih dalam lirih perih dada dan kepala. Balik terawih sepatutnya hadir mesyuarat, tetapi kekuatan fizikal bagaikan tiada. Jam 10 aku sudah terlentang di ranjang pembaringan. Menekup dada yang tidak tahu dimana punca sakitnya. Kepala bagai diserkup sesuatu. Berat. Mencucuk-cucuk sakitnya. Bersilih ganti antara dada dan kepala.

Aku tidak tahu sampai bila harus aku jadi begini. Tidak sesekali untuk mempersoalkan kenapa dan bagaimana. Segala-galanya DIA yang menentukan. Bersangka baik. Selebihnya usaha dan ikhtiar untuk rawatan. Penyembuhan hanya DIA yang berhak lakukan.

Moga-moga kesakitan ini jadi satu kafarah. Aku banyak dosa. Aku perlu minimumkan dosa. Mahmudah yang utama. Mazmumah aku mahu kikis sebaiknya. Biarlah sakit di dunia dan aku tenang untuk selama-lamanya di akhirat sana.

Moga-moga Allah dengar rintihan aku memohon magisNYA.
posted by rudy bluehikari @ 8:05 PM   4 comments
Monday, October 02, 2006
CERITA PM JEPUN: AKU MENANG!


Mantan PM Koizumi


Semasa pelantikan Koizumi sebagai Perdana Menteri Jepun 5 tahun sudah. Aku di tahun dua di Fukushima ketika itu. Aku berdebat dengan Takahashi Otousan (Ayah angkat Jepun) aku. Perdebatan yang menuntut Yumiko Okaasan (Mak angkat Jepun) aku meleraikan perdebatan itu dek kerana kami bertegang urat leher hanya kerana manusia bernama Koizumi!

Takahashi Otousan orang kuat LDP (Liberal Democratic Party) di kawasannya. Aku pula berminat dengan politik Jepun. Ayah angkat aku penyokong kuat dan berada dalam puak Nakasone (bekas Perdana Menteri Jepun antara yang lama bertahan sebagai PM). Dalam pemilihan PM sebelum itu, Koizumi kalah tipis kepada Mantan PM Mori untuk jawatan itu. Tetapi Koizumi bersabar hinggalah beliau menggantikan Mori sebagai PM selepas penggal Mori (antara PM yang paling tidak popular, singkat memerintah Jepun secara statik).

Pelantikan Koizumi yang merupakan dari kelompok muda LDP, meskipun lahir sebelum Perang Dunia Kedua disambut dengan banyak tentangan golongan veteran LDP dan bersikap ortodoks dalam kerajaan. Banyak pembaharuan yang dibuatnya tidak mengikut trend semasa, pemimpin veteran sebelum ini yang menguasai kerajaan Jepun. Projek penswastaan Pos Jepun antara yang menjadi sejarah panjang, sebelum ia menjadi kenyataan diluluskan Parlimen, sejurus sebelum beliau mengakhiri penggal pemerintahannya. Antara penentangnya ialah ayah aku!

Takahashi Otousan akhirnya buat pertaruhan dengan aku. Dia cakap, Koizumi tidak akan bertahan lama. Tetapi, aku cakap, Koizumi akan bertahan lama dan antara PM Jepun yang akan menyinar membuat perubahan kepada Jepun.

Go nengo (Selepas 5 tahun)....

Hari ini emel Takahashi Otousan datang.

"Omae no kachi da!" (Ini kemenangan kamu!)

Aku menang. Koizumi melepaskan jawatannya ketika dia berada di puncak. Koizumi antara PM yang lama memerintah dan menyamai rekod Nakasone. Nasib baik aku tidak bertaruh duit. Kalau tidak, aku sudah jadi kaya-raya dengan duit judi. Hahahaha!

*******



Perdana Menteri Jepun baharu; Shinzo Abe

Takahashi Otousan tidak mahu kalah. Kali ini dia mahu aku bertaruh lagi. Pengganti Koizumi yang juga protegenya; Shinzo Abe baharu sahaja dilantik sebagai PM Jepun yang baharu. Kali ini siang-siang lagi Takahashi Otousan membuat taruhan yang Shinzo Abe akan bertahan lama. Aik? Sudah terbalik. Aku belum lagi menjawab taruhannya. Dahulu, aku mengikuti senario politik dan pemimpin LDP dari dalam negara tersebut. Lima tahun telah berlalu. Aku tidak lagi mengambil tahu seperti dulu.

Apa aku mahu jawab emelnya ya? Menyahut cabaran taruhannya atau bagaimana? :p
posted by rudy bluehikari @ 8:48 PM   10 comments

RUDY BLUEHIKARI
dari Banting ke Fukushima
Winner of Geng Jurnal Best Weblog Award 2001
Terkini
Arkib 2006
Arkib

 

Links
Karya


    Buku kompilasi entri 20 penulis blog terbitan MINE. Hubungi saya di vicenata2000 [at] yahoo [dot] com untuk mendapatkan buku ini.


    Novel bersama kedua saya hasil tangan Sri Diah, MBA, Rudy Bluehikari dan Ibnuariff sudah berada di pasaran sekarang. Terbitan Alaf 21.


    Novel Bersama sulung saya hasil tangan 23 penulis terbitan esastera.com.


    Buku kompilasi entri penulis blog terbitan MINE. Hubungi saya di rudy [at] bluehikari [dot] com untuk mendapatkan buku ini.

Powered by

Free Blogger Templates

BLOGGER