Saturday, September 30, 2006
IFTAR: UNAGI BENTO




Dahulu. Ramadhan 1424 Hijrah.

Empat setengah petang. Rembang senja musim dingin di Fukushima. Gelap. Sudah iftar!Aku bergegas keluar dari Dewan L1, kuliah terakhir. Seluk tangan ke dalam kocek. Ada sebiji kurma. Kunyah lambat-lambat. Nikmatnya berbuka puasa sambil berlari anak ke stesen keretapi Kanayagawa. Tak mahu aku terlepas keretapi. Terlepas keretapi ini maka kena menunggu sejam lagi! Perut sudah berkeroncong minta diisi.

Malam semalam terlajak tak bersahur. Maknanya tak sempat masak nasi untuk berbuka sekali. Dalam kepala mahu buka puasa dengan Takoyaki yang boleh dibeli dengan harga 500 yen di stesen Fukushima. Sampai di hadapan kedai, manusia beratur panjang! Benci.

Di hadapan kedai takoyaki, sepasang kekasih duduk berhimpit. Hangat. Sambil tangan menyuap unagi bento ke mulut. Kecur liur. Oh! Unagi bentopun unagi bentolah! 650 yen bertukar tangan dengan unagi bento. Cari bangku di luar stesen Fukushima. Suap pelan-pelan ke mulut. Arghh! Nikmatnya mengunyah panas-panas nasi dan daging unagi (belut) yang dipanggang dengan tare (sos) khas.

Ramadhan 1427 Hijrah.

Segera teringat kecur liur unagi bento. Ada ke yang sesedap unagi bento Fukushima?

* Lagi cerita belut Jepun
posted by rudy bluehikari @ 1:43 AM   8 comments
Monday, September 25, 2006
RAMADHAN


Cahaya Ramadhan menyelit keluar
dari jendela qamariah yang mula
terbuka.

Berlumbalah umat berpusu menggapainya,
sedangkan aku masih terleka
dibuai kegelapan dunia.

Ramadhan tahun ini agak sepi. Aku di sini. Suri di Utara. Sicilik di kampung.
Tak seronok! Tiada nikmat bersahur dan berbuka sekeluarga seperti tahun lepas. Sahur semalam pun boleh tak terjaga! Aduhai!

Baru tahu, penangan isteri itu bagaimana bila tiada!
posted by rudy bluehikari @ 9:14 PM   7 comments
Tuesday, September 19, 2006
BICARA LELAKI




Kadang-kadang bila bicara sesama jantina kita akan lebih selesa. Kita bebas ngobrol perkara-perkara yang tak mungkin boleh dikongsi dengan wanita. Termasuk perkara-perkara "biru". Ha! Ha! Ha!

Itu sebelum kahwin. Tetapi selepas kahwin, aku cuba usahakan untuk berkongsi dengan wanita yang berkongsi katil denganku. Cuma lewat kelahiran si cilik, dia di tengah-tengah kami. Arghhh..... :)

* terima kasih Meer, foto yang bagus!
posted by rudy bluehikari @ 3:39 AM   5 comments
Sunday, September 17, 2006
TEMUDUGA
....satu malam perbualan dengan seorang sahabat di Ipoh...

AB: Abang, esok saya temuduga. Doakan ya.

AKU: Abang doakan adik memancutkan jawapan-jawapan yang merangsang penemuduga hingga dia puas dan klimaks menerima adik bekerja!

AB: Huh! Gangguan Teksual!

AKU: Hahahahaha!
posted by rudy bluehikari @ 5:17 PM   4 comments
Saturday, September 16, 2006
KENANGAN TERINDAH



Gatal tangan dan teruja dengan foto dari laman web ibunya;
Aku buat sedikit contengan. Ya, sejujurnya aku begitu terleka dengan
lagu tersebut. Segera mengingatkan aku tentang seseorang!
posted by rudy bluehikari @ 5:05 PM   1 comments
Wednesday, September 13, 2006
ULANG-ALIK
Seminggu dua ini berulang-alik ke Pusat Kesihatan.

Dua minggu lepas buat pemeriksaan kesihatan. Ambil darah. Ambil sampel air kencing. Sudah lama tidak buat pemeriksaan. Nah! Sejak balik Malaysia bertahun-tahun lepas sampailah dua minggu lepas. Baru berkesempatan! Seperti biasa aku akui, tekanan darah di atas pagar. Kolestrol pun tinggi. Jadi hari-hari doktor minta buat pemeriksaan tekanan darah tinggi. Alhamdulillah, seminggu ini atas nasihat doktor pemakanan dijaga. Bersenam kena selalu. Berat badan pun dah di atas pagar!

Kalau ke kedai makan, aku cakap kepada tukang masak, kurangkan gula dan garam dan tiada ajinomoto. Memang berbaloi bila tadi buat pemeriksaan tekanan darah jadi normal semula. Lipitor yang aku telan seminggu lepas untuk rawatan kolestrol pun aku harapkan ada kesan. Petang ini, tengok keputusan pemeriksaan darah. Harap-harap semuanya dalam keadaan baik. Kalau tidak, aku kena telan lagi ubat, ubat dan ubat.

Ubat ditelanpun, aku takkan lupa kuasa penyembuhnya DIA.

Aku hamba sahaja.
posted by rudy bluehikari @ 9:59 PM   1 comments
Sunday, September 10, 2006
MATAHARI MENGHILANG
....

"Abang kehilangan matahari yang bersinar ceria sejak dua tiga hari ini. Abang harap matahari itu segeralah keluar dari balik awan mendung. Abang nantikan. Sebab cahaya matahari itu juga sebahagian daripada sinar dalam hidup abang. Segeralah bercahaya!"


Ini. Ini ucapan untuk beberapa orang. Mereka-mereka yang sedang dilitupi oleh masalah dalam hidup. Aku karang bait-bait itu dan simpan dalam memori kepala. Bila kerapkali mendapat kiriman mesej elektronik sebegitu, mesej tersebut aku terjemahkan kembali dan dihantar kepada empunya diri. Moga-moga mereka boleh dapat sesuatu daripada kata-kata itu.
posted by rudy bluehikari @ 8:51 PM   2 comments
Thursday, September 07, 2006
MAHLIGAI CINTA




Alhamdulillah, MAHLIGAI CINTA hasil tangan kami berlima; SRI DIAH, MBA, IBNU ARIFF dan EYES sudah tersedia di pasaran. Dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran.

*****

Bluehikari, kadang-kadang aku bagai tercari-cari di manakah kesakitan yang aku rasai pada ketika ini. Tetapi, selalunya aku hentikan pencarian itu dengan rasa takjub dengan kekuasaan DIA yang memberi izin aku merasai kesakitan ini. Ya, merasai kekuasaan yang DIA ada. Aku? Aku hanya hamba. Redha pada semua ketentuan yang DIA buat. Selebihnya, hamba sahaya seperti aku hanya perlu berusaha mencari jawab sembuh dengan rawatan. Dan seterusnya tawakkal kepada dia dengan kemakbulan dan kesembuhan.
posted by rudy bluehikari @ 9:29 PM   6 comments

RUDY BLUEHIKARI
dari Banting ke Fukushima
Winner of Geng Jurnal Best Weblog Award 2001
Terkini
Arkib 2006
Arkib

 

Links
Karya


    Buku kompilasi entri 20 penulis blog terbitan MINE. Hubungi saya di vicenata2000 [at] yahoo [dot] com untuk mendapatkan buku ini.


    Novel bersama kedua saya hasil tangan Sri Diah, MBA, Rudy Bluehikari dan Ibnuariff sudah berada di pasaran sekarang. Terbitan Alaf 21.


    Novel Bersama sulung saya hasil tangan 23 penulis terbitan esastera.com.


    Buku kompilasi entri penulis blog terbitan MINE. Hubungi saya di rudy [at] bluehikari [dot] com untuk mendapatkan buku ini.

Powered by

Free Blogger Templates

BLOGGER