Monday, July 31, 2006
KESAL
Inilah kali pertama aku membaca luahan hati seorang sahabat. Benar, sejak peristiwa 911, prejudis tentang Umat Islam amat tragik. Segenap diri rasa begitu sedih. Simpati yang amat. Moga-moga Saudari LAVLYN diberi kesabaran. Ada hikmah Saudari diperlakukan sedemikian. Saya cukup terbuka dengan rasa hati yang terluah oleh Saudari. Selama 4 tahun di sana, aku akui tidak semua layanan baik aku terima. Ada aku tulis beberapa insiden yang tidak aku suka. Benarlah kata orang, biar hujan batupun yang menjatuhi negeri sendiri, memang baik negeri sendiri.

Assalamualaikum Saudara Rudy. Nak bercerita sedikit di sini, maaf kalau terpanjang.

Saya kenali blog saudara agak lama dulu, kemudian belajar mengkagumi negara timur yg saudara kenalkan. Dalam hati memang kagum. Mereka nampak hebat dari blog saudara. ketika saya dapat peluang ke sana, dalam hati berdetik; "dapat tengok Jepun, macam yang dicerita Rudy". Hati memang berbunga-bunga. Sampai di Narita Airport dalam pukul 7.45 waktu Malaysia. Kena tahan imigresen sampai 10.45. Saya bukan pendatang haram, bukan tumpang kapal kargo. Saya datang dengan visa, dengan hati yang berbunga. Kalau nak tanya berkenalan, kenapa sampai ke hal personal, sampai kahwin berapa lama pun dipertikaikan? Berulang-ulang ditanya seperti jawapan saya adalah salah. "Saya datang nak cuti seminggu, lepas tu nak balik. Saya kerja di Malaysia". Tiket balik pun dah comfirm, lalu kenapa soalan masih datang bertalu-talu. Mereka mencari salah, visa mcm tiada harga, passport kita cetak rompakkah? Dan mereka tak berterus terang. Saya tanya ada masalahkah? mereka menggeleng-geleng.

Mana suami saya, kenapa dipisahkan kami? Apa salah kami? Pertama kali menjejak kaki di bumi Narita dengan layanan begini, saya rasa terhina. Mahal sangatkah udara mereka. Kecil sangatkah kita sampai begini cara layanannya? Nasib baik airport tutup pukul 10, kalau tidak, saya balik malam itu juga. Sementara menunggu kawan datang menjemput, hati saya kesal datang ke bumi ini. Air mata menitik laju di kerusi kayu. Kalau kita menyanjungi mereka, siapa kita di mata mereka?

Saudara rudy, saya sekadar meluahkan. Tidak prejudis pada sesiapa. Cuma saya rasa terkilan, rupanya indah khabar dari rupa.

Salam.
posted by rudy bluehikari @ 4:07 AM   10 comments
Thursday, July 27, 2006
SENARIO
Aku: Apa sudah jadi dengan Siri Senario di TV3. Jadi drama iklan maha panjang mempromosi produk C**?

Tokrimau: Brandalisme; kita berhentikan iklan ini untuk melihat lebih banyak iklan. Jangan ke mana-mana.

Aku: Alahai Senario! Tanduskah ideamu?


Sehari sebuah blog
Cerita Kak Long
posted by rudy bluehikari @ 8:24 AM   4 comments
Monday, July 24, 2006
KENTANG DAN EPAL
Rudy: Tok, Mon-mon Tok pasti suka makan kentang goreng. Cuba Tok tanya mereka. Mereka tahu tak macam mana pokok kentang. Menjalar ke tidak.

Tokrimau: Depa tak tahu pokok kentang, seperti mana aku tak tahu pokok epal yang aku suka airnya. Tugas ibu bapa yang mampu adalah memperluaskan pengalaman anak-anak. Cikgu tidak mampu buat semua.

Ya ya betul. Ibu bapa sepatutnya turun padang untuk piat telinga anak-anak yang berpeleseran ponteng sekolah di Kafe Siber. Bukan cikgu. Bukan Polis. Tak begitu Datuk K?

Bluehikari: tinggal seminggu berpantang makan tumbuhan menjalar.
posted by rudy bluehikari @ 3:29 AM   6 comments
LAWAN
Apa lagi yang mereka mahukan. Aku terduduk. Keperitannya memang menyusahkan. Sakit dada dan kepala mencucuk-cucuk. Sekaligus menjerumuskan aku ke jurang perasaan yang tidak seronok untuk dibicarakan.

Hidup mesti terus. Rudy lawan! Lawan!
posted by rudy bluehikari @ 12:43 AM   1 comments
Wednesday, July 19, 2006
TEMPUR LAGI


Dan pertempuran itu akan berulang kembali malam ini.

D.o.a.k.a.n
posted by rudy bluehikari @ 1:32 AM   7 comments
Monday, July 17, 2006
MARAH
Kadangkala aku alpa. Perkara kecil dan remeh dijadikan sebab untuk marah. Sedangkan perkara sebegitu tidak perlu untuk kau siram petrol hingga marak menyala api kemarahan.

Tiga hari itu aku duduk diam.

Ego tak bertempat dek kerana kita jauh lebih lama makan garam daripada orang lain adalah perkara yang bodoh! Pagi ini, aku meminta maaf kepadanya. Maaf berkali-kali. Kosong-kosong kataku. Angguknya menerima melegakan aku.

Kemudian dia membuka mulut; kenapa aku meminta maaf kepada dia yang jauh lebih muda. Aku jawab, itulah aku. Tak malu meminta maaf andai benar kesalahan itu datangnya daripada aku.

Senyum.

Bukankah indah kalau hidup ini tiada persengketaan? Tak begitu bangsa Israel?
posted by rudy bluehikari @ 2:18 AM   6 comments
Thursday, July 13, 2006
BELASUNGKAWA
Benar, realitinya aku yg sakit sejak memulakan penulisan. Tetapi dia yang pergi dahulu.

Sehinggalah kotak pesanan mesej elektronikku ditebak attokz, mengkhabarkan berita sedih ini, aku jadi turut menangis dalam ribut dan kalut bekerja nun di selatan. Tidak sempat bergegas menziarahi arwah. AlFatihah! Moga rohMu bersama ditempatkan dengan mereka yang beriman.

* Aku teringat kembali pertemuan pertama dalam gath 2002
* Aku teringat kembali meja havoc dalam gath 2005!

Kesedihan maha panjang. Alfatihah buatmu CIKNANA
posted by rudy bluehikari @ 11:11 PM   2 comments
Monday, July 10, 2006
CERITA DINIHARI
Di tengah-tengah tanah lapang itu aku berdiri. Meluruskan kaki dan tangan. Menghadap kiblat. Kaki aku telanjang. Kulit kaki rasa dingin pabila bersentuhan dengan embun rumput dinihari dua pagi. 5 sahabat membantu sama.

Dan selepas takbir bergema, dari kepala bagai tersedut tajam-tajam jarum, laju menelurusi urat saraf dan pembuluh darah menuju dada, perut dan tapak kaki telanjang. Serentak dengan hentakan kaki sahabat berlima, bagai tertusuk kulit kaki telanjang aku dengan tajam-tajam jarum yang keluar dari badan terperosok jauh ke dalam tanah. Perit. Sakit.

Mata-mata memandang. Bahu ini yang memikul sendirian. Akhir rawatan, "ia" dibunuh. Aku sendiri dari mata halus yang Dia bukakan sebentar, melihat darah merah membuak-buak dari sembelihan "tangan pisau" yang membunuh "ia". Sungguh! Aku masih merasai ketajaman "tangan pisau" itu menyentuh kulit leherku. Segera aku terimbas kisah Ismail Alaihissalam. Oh! Mengerikan.

Pertempuran masih panjang. Masih bersisa "ia-ia" di dalam tubuhku. Sabar kata sahabat. Kita selesaikan satu persatu. Aku angguk.

Tidak. Aku tidak bermimpi. Ia realiti dinihari itu.
posted by rudy bluehikari @ 12:14 AM   11 comments
Friday, July 07, 2006
PARASIT
Ya, ia sudah berakar umbi. Sudah tumbuh dan subur. Teduh. Pohonnya tinggi menjulang langit. Ini bukan pohon manfaat, tetapi pohon sesat. Tumbuh menumpang pada kehidupan lain yang Tuhan sudah tentukan. Di situlah monyet-monyet bertopengkan iblis bergayutan. Bersorak-sorai, bertepuk tangan dan melompat-lompat kegembiraan atas kepayahan perumah yang mahu bernafas mencari hidup!

Pohon Parasit ini perlu aku tebang. Dari sebesar-besar dahan hinggalah ke akar umbi. Biarpun ia sudah berpuluh tahun hidup bersenang-lenang menyedut setiap zat kehidupan perumah yang semakin hari semakin hilang zat kehidupannya sendiri.

Aku mohon ketabahan dariMU Tuhan.
posted by rudy bluehikari @ 1:50 AM   8 comments
Wednesday, July 05, 2006
MANJA!
Sekarang musim pelajar baharu masuk Universiti. Berbondong-bondong dengan keluarga dan jumlah kereta. Ada satu IPT jumlah pelajar baharunya hampir enam ribu. Kereta yang menghantar dua biji seorang, paling kurang. Datuk, Nenek, Pakcik, Makcik pun ada sama. Meraikan cucu/anak saudara kata mereka.

Urusan pendaftaran sistematik. Semua dokumen boleh diserahkan semasa pendaftaran yang dibuat secara terancang. Laporan perubatan, pakej, borang akademik semua boleh hantar semasa pendaftaran di kolej-kolej kediaman.

Itupun, ada merungut-rungut. Panas. Lambat. Susah. Berat. Sejuta alasan. Alahai manjanya!

Aku dulu? Dari turun kaki memijak Negara Shinto, aku buat sendiri. Bayangkan bahasa Jepun setakat KA KI KU KE KO, dari Tokyo super sempai (super senior) yang membantu naik shinkansen (keretapi peluru) melepaskan kami sendirian ke universiti masing-masing. Mereka kata; jangan tertidur. Satu jam setengah dari sekarang itulah stesen tempat turun kamu!

Aku tongkatkan kelopak mata. Takut sekali. Kalau terlepas stesen dengan tahap bacaan tulisan Kanji yang minimum, payah aku nak bertanya orang nanti. Sampai di stesen Bandar Fukushima, nasib baik ada super sempai Universiti (super senior) sudah tunggu. Lega! Kalau tidak susah pula nak naik teksi.

Pendaftaran di daigaku (universiti) sangat sukar. Kena pergi dari satu jabatan ke satu jabatan. Tiada dipusatkan seperti di IPT ini. Taklimat fakulti pun tiada. Aku hanya dapat buku panduan dari Fakulti. Pandai-pandai sendiri mahu daftar itu ini dan mahu ambil subjek apa. Aku cari senior Jepun, aku tanya dia. Aku masih ingat nama dia TANAKA. Aku rasa aku banyak guna bahasa ayam itik (lebih banyak bahasa badan dari bahasa Jepun). Almaklum bahasa yang aku belajar bahasa buku. Bukan bahasa pertuturan.

Tapi, aku tak merungut. Sebab aku tahu, jiwa aku mesti besar. Mesti berdikari di tanah orang. Aku tiada mak ayah di sana. Aku hanya ada kawan-kawan. Dengan kawan-kawan mata sepet itu aku hidup.

Alhamdulillah, lepas empat tahun aku bawa balik skrol ijazah undang-undang! Masa aku terima skrol tu aku cakap kat diri aku sendiri; HAH! BOLEHPUN!
posted by rudy bluehikari @ 1:43 AM   12 comments
Saturday, July 01, 2006
TERIMA KASIH PAK CIK BASRIE
Kesempatan yang ada ini aku mahu ucapkan terima kasih. Ya, aku akui media blog ini banyak membantu aku berusaha mencari penawar sakit yang ada. Moga-moga kebaikan Pak Cik Basrie sekeluarga yang menunjuk jalan, dibalasi dengan sebesar-besar pahala. InsyaAllah, selagi hayat dikandung badan, selagi itu aku jauh dari putus-asa dan mengharap kepada Dia Al-Khalik.

"Ujian Allah itu hadir dalam pelbagai cara dan ketika. Persoalannya ialah apakah kita sedar akan kehadirannya?"

Ya, aku telan kata-kata Pak Cik Basrie. Biar ia tertanam jauh di sudut hati. Ya, ujian Tuhan bukan sahaja derita, tetapi mungkin juga kemewahan yang melimpah ruah. Tak begitu ASMAWI ANI?
posted by rudy bluehikari @ 10:50 PM   9 comments

RUDY BLUEHIKARI
dari Banting ke Fukushima
Winner of Geng Jurnal Best Weblog Award 2001
Terkini
Arkib 2006
Arkib

 

Links
Karya


    Buku kompilasi entri 20 penulis blog terbitan MINE. Hubungi saya di vicenata2000 [at] yahoo [dot] com untuk mendapatkan buku ini.


    Novel bersama kedua saya hasil tangan Sri Diah, MBA, Rudy Bluehikari dan Ibnuariff sudah berada di pasaran sekarang. Terbitan Alaf 21.


    Novel Bersama sulung saya hasil tangan 23 penulis terbitan esastera.com.


    Buku kompilasi entri penulis blog terbitan MINE. Hubungi saya di rudy [at] bluehikari [dot] com untuk mendapatkan buku ini.

Powered by

Free Blogger Templates

BLOGGER