Thursday, May 25, 2006
INSINARATOR vs RAKYAT MALAYSIA
Aku: Kenapa rakyat Malaysia tak mahu menerima pembinaan insenarator. Sedangkan ianya terbukti berkesan di Jepun untuk kita pelihara alam sekitar? Pusta pelupusan sampah menyebabkan sumber air bawah tanah tercemar!

Naga: Rakyat Malaysia bodoh :)

Tokrimau: Kalau insinerator dijaga oleh Jepun O.K lah.Beza kereta Mitsubishi buat di Jepun dengan kereta yang sama buat di sini.

MatJan: (Masih membisu dan terus membisu)
posted by rudy bluehikari @ 9:11 PM   8 comments
DINAR EMAS
Aku: Husam Musa bijak! Dia boleh baca pemikiran Tun M untuk perkenalkan dinar emas. Tapi kenapa Pak Lah tolak idea bagus ini?

Tokrimau: Baca Pakdi.

Naga: Pak Lah bukan Mahathir :)

Mat Jan: (tak balaspun sms aku!)
posted by rudy bluehikari @ 1:48 AM   39 comments
Tuesday, May 23, 2006
LX40 030 022 7MY
Bagi pihak Pos Malaysia Berhad, saya mohon maaf kepada Encik K.A.A.K di Kuala Lumpur di atas kelewatan Pos Ekspress bernombor LX40 030 022 7MY berisi JIWA KACAU yang dibelinya melalui saya.

Begitulah ya, tuan-tuan puan-puan, janji "sehari pasti sampai ke destinasi", tidak dipenuhi syarikat GLC ini, walaupun Pos Ekspress berharga RM3.00 ini di pos dari Pinggir Kuala Lumpur ke Kuala Lumpur.
posted by rudy bluehikari @ 8:07 PM   3 comments
Monday, May 22, 2006
ENTIMEM BUAT GHAZ
Aku tidak mengenali dia. Cuma, dalam bingkisan akhir kepada sahabat-sahabatnya, nama BLUEHIKARI disisip kejap dalam blognya. Aku ketemu blog Ghaz, lewat sebulan selepas Ghaz menghembuskan nafas akhirnya akibat cirrhosis.

Usai membaca bingkisannya, aku jadi kelu. Ada sebak dan pilu. Alangkah baiknya kalau aku mengenali dia seawal mungkin!

Untuk Sha, aku doakan sebesar-besar sabar dan tabah kepadanya. Kenangan Sha bersama Ghaz pasti sukar untuk luput dari kenangan. Tetapi percayalah, seperti yang Allah firmankan dalam Al-Insyirah ayat 1-10, Dia tidak berkehendakkan dugaan ke atas makhluknya kalau makhluk itu tidak kuat menanggungnya. Aku doakan Sha tabah mengharungi hari-hari mendatang. Percayalah, Allah maha adil dan disebalik maha kesedihan ini, aku berdoa akan ada sinar yang membahagiakan di hujung hari. Bersabarlah.

Bluehikari,

Mengingati Ghaz, aku tercari-cari kelibat Chill dan Fa Tulip. Di mana kau berada dua sahabatku? Sihatkah?

++++

Bingkisan daripada Ghaz

Assalamualaikum
Teman-teman,Di saat teman-teman membaca apa yang aku tulis ini, aku sudah tiada. Aku sudah pun meninggalkan teman-teman semua. Dari keikhlasan hati dua temanku yang rapat, akhirnya dapat juga teman-teman membaca apa yang ingin aku sampaikan buat kali terakhir.Sebenarnya, aku telah menyediakan catatan ini terlebih dahulu bilamana aku terasa aku perlu mengucapkan selamat tinggal pada semua. Mungkin apa yang aku lakukan ini agak keterlaluan dan tidak diterima akal yg waras, tetapi padaku, aku ingin melakukannya juga. Kerana ketika aku menulis ini, aku dapat merasai yang aku tidak punya banyak waktu lagi.


Dan pada semua bloggers yang lee kenali: terlalu ramai untuk aku tuliskan nama teman-teman satu persatu, aku ingin mengucapkan terimakasih kerana kita sokongan teman-teman. Banyak yang aku pelajari dari teman dan segala doa, ingatan dan semangat dari teman-teman, aku hargai sesungguhnya. Teruskanlah menulis, tulis terus dari hati, kerana apa sahaja datangnya dari hati, merupakan apa yang kita rasa, timbul dari perasaan. Dan ingat selalu, tulislah yang baik-baik, agar ianya dapat menjadikan diri sendiri dan pembaca-pembaca menjadi insan yang lebih mulia lagi.

Kepada pembaca-pembaca blogku ini, terima kasih kerana sudi membaca dan mengikuti kisahku. Seringkali bila menulis, aku sedar yang teman-teman tetap ada, membaca dalam diam,tanpa meninggalkan apa-apa tentang apa yang telah aku tuliskan dan inilah yang benar-benar memberiku semangat untuk menulis lagi. Untuk Hanna, terima kasih atas dorongan yang telah kau berikan selama ini. Akhirnya segala penulisanku di sini, sudahpun menjadi sepertimana blog bluehikari: sudah sampai ke penyudahannya. Cuma di penghujung blogku ini, penutup ceritanya ini mungkin sudah mengecewakan kamu.

Untuk saudaraku Surina, aku harap kau lebih tabah setelah apa yang telah kau lalui kebelakangan ini. Kau perlu lebih tabah dengan segala apa yang muncul di dalam hidupmu. Mungkin ini ujian bagi kau sebenarnya, kerana tanpa ujian sebegini, tidak mungkin kau akan menjadi hambaNya yang lebih beriman. Ingat selalu Su, dalam mengharungi hidupmu nanti,berjalanlah terus ke hadapan, jangan membelok ke mana-mana dan jangan lagi pandang ke belakang lagi.


Untuk saudaraku Hikaru, terimakasih atas persahabatan ini. Terimakasih kerana membolehkan aku untuk menyampaikan catatan terakhir pada teman-temanku di sini. Terimakasih kerana memberi aku semangat untuk bercerita di sini.Kerana di sini, dapatlah aku melepaskan segala rasa sebak dan keliruku. Sekurang-kurangnya tekanan perasaan dapat aku melepaskan di sini.


Dan akhir sekali, untuk Sha tersayang. Maafkan abang kerana menceritakan tentang diri Sha di sini. Maafkan selama ini abang merahsiakan tentang blog ini dari Sha. Maafkan abang kerana selepas abang tiada, barulah abang 'menjemput' Sha untuk membaca apa yang telah abang tuliskan. Bacalah apa yang telah tertulis di sini, kerana di sini, selalunya abang lagukan rasa sayang dan rindu pada Sha. Kerana di sini, apa yang berbicara di hati abang, abang turunkan satu persatu apa yang abang rasai. Dan sekiranya apa yang abang tulis di sini memilukan hati Sha, janganlah menangis lagi. Cukuplah dengan apa yang pernah kita tangisi bersama, cukuplah dengan tangisan apabila abang pergi. Kerana kesedihan yang abang rasakan itu, sudahpun tidak ada lagi. Semuanya telah dibawa pergi bersama abang. Teruskanlah membaca tapi jangan sekali-kali Sha gugurkan airmata lagi.


Terimakasih teman-teman… Jangan bersedih kerana kehilanganku, kerana itu akan membuat aku lebih bersedih kerana aku lagi terasa akan kehilangan orang-orang yang aku sayangi dan teman-teman semua….. Dan kumohon ampun dan maa jika ada tingkahlakuku, tulisanku yang menguriskan hati teman-teman.

Selamat tinggal, semua…. aku harus pulang dahulu.
Assalamualaikum.
posted by rudy bluehikari @ 7:15 PM   1 comments
Thursday, May 18, 2006
KASIH AYAH


posted by rudy bluehikari @ 2:24 AM   0 comments
SEBIJI PINGGAN
Dia lahir ke dunia dalam serba serbi tersedia oleh keluarga. Kemewahan melata. Susah? Tiada erti susah dalam kamus hidupnya. Mahu apa saja, ayah boleh sedia. Celik mata semua di hadapan mata.

Minggu lepas, Dia menawarkan diri untuk turut serta satu program khidmat siswa di sebuah kampung terpencil di negeri Selangor. Itupun aku paksa. Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas Negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan aku bekerja. Kampung itu menempatkan penghuni yang rata-rata mempunyai pendapatan ringgit-Malaysia-lima-kosong-kosong ke bawah. Dapatlah dia seorang ayah angkat penjual aiskrim, isteri dengan tujuh anak lelaki yang masih kecil.

Kehidupan mereka maha daif. Aku tidak sampai hati untuk ketawa bila dia menceritakan pengalamannya mandi dengan memegang pintu bilik mandi. Makan dengan seadanya dan terlalu simple. Nasi berlaukkan pucuk ubi rebus, kicap dan ikan goreng yang dipancing dari laut berhampiran. Rumah PPRT tanpa kipas angin. Tidur bermandi peluh. Alangkah daifnya hidup mereka, bagai langit dan bumi dengan banglo mewah milik ayahnya.

Pulang dari program itu, dia menemui aku. Bercerita dengan penuh kerut wajah dan membusung rasa tidak puas hati di dada. Semuanya amat sukar baginya. Katanya bagai dihantar ke neraka! Aku tersenyum mendengar ceritanya. Katanya lagi, sebelum bertolak pulang ke Universiti, dia dihadiahkan sebiji pinggan daripada mereka (sambil menunjukkan hadiah sebiji pinggan kepada aku). Itupun pinggan percuma dari belian sekampit sabun basuh. Dia rasa malu dan terhina menerimanya. Apa tidaknya, sahabat yang lain ada dihadiahi baju, tuala, plak dan sebagainya. Tetapi dia hanya menerima sebiji pinggan tertulis besar jenama sabun basuh pula!

Dengan selamba aku berkata kepadanya; "Ril, itulah lambang pengorbanan dan keperitan seorang ayah yang memerah keringat, mencari sePINGGAN nasi untuk menyuap isteri dan zuriat!"

Dia terpempan dan pinggan hadiah ayah angkatnya itu, jatuh berderai di lantai pejabatku!

------------------------------

* Aku ingin merakamkan ucapan terima kasih sekalung budi kepada Ustaz Wan Sobri, Pegawai JASA dan Seluruh penduduk Kampung *****, DUN Sg. Panjang yang sudi menerima anak didik kami.
posted by rudy bluehikari @ 1:53 AM   0 comments
Wednesday, May 17, 2006
BIKIN FILEM




Bukan mudah rupanya mahu jadi orang filem. Mahu ambil shoot untuk 1 jam perlukan hampir 4-5 jam lamanya. Itu belum lagi action perlu diulang. Penat memang penat. Itu belum lagi proses editing dan sebagainya. Aku dapat belajar dan memahami bagaimana sukarnya orang mahu buat filem. Patutlah, orang filem marah cetak rompak. Kita ini pula mudah sahaja membeli daripada orang seperti Jason dalam filem SEPET. Ironinya, aku mengikut abang Muring dan krew-krewnya shooting sepanjang malam semalam. Penuh dengan pengalaman dan bukan mudah untuk mendapat peluang sebegini baik.

Jam dua setengah pagi semalam baru aku dapat lelapkan mata! Dalam kantuk, aku puas!
posted by rudy bluehikari @ 3:03 AM   2 comments
Tuesday, May 16, 2006
TERIMA KASIH CIKGU


Sudah hampir lima tahun aku tinggalkan alam pengajian (universiti). Manfaat ilmu yang aku kutip daripada guru-guru sangat banyak. Alhamdulillah, kalau tidak kerana mereka, aku tidak akan sampai ke tahap ini.

Semalam, rembang petang aku menelefon salah seorang guru yang pernah akrab dengan aku semasa aku bergelumang dengan peperiksaan SPM dahulu. Lama aku tidak menghubunginya. Sengaja aku telefon awal sebab aku mahu jadi yang pertama ucap selamat. Begitulah aku selalunya saban tahun. Ada dua orang guru yang aku tidak akan pernah lupa untuk telefon setiap tahun untuk ucap selamat. Walau kemana tercampak sekalipun, dua orang guru inilah yang menjadi rujukan walaupun aku sudah menginjak senja umur dua puluhan.

Ya, hidup bagai roda, begitu pesan cikgu S semalam. Berita yang aku dengar semalam tentang keruntuhan rumah tangganya amat memilukan. Inilah kali pertama aku berbual dalam keadaan mood yang sukar untuk diterpa. Tidak semua guru itu perfect katanya. Ya aku akui itu. Tetapi, walau apapun statusnya dia, bagi aku dialah cikgu yang pernah mengisi salah satu ruang hidup aku semasa bergelar seorang pelajar sekolah.

Aku ingat itu. Sampai bila-bila. Sampai mati.

Selamat Hari Guru Cikgu! Moga-moga Allah berkati hidup cikgu selama-lamanya. Kalian sudah ucap selamat?
posted by rudy bluehikari @ 5:35 PM   0 comments
Monday, May 15, 2006
MAAF
Kita selalu lupa cermin diri. Macam aku. Selalu begitu.

Aku tak perasan pelakuan aku sebenarnya mengguris perasaan orang lain. Sehinggalah tadi, selepas aku mendapat panggilan telefon daripada sahabat aku ini, barulah aku mengerti mengapa dia dingin sejak sebulan yang lalu.

Patutlah aku telefon dia dia jawab acuh tak acuh sahaja. Terbongkarlah rahsia sebenarnya. Jalan paling baik aku segera minta maaf. Aku mungkin fikir yang pelakuan itu sebenarnya tidak apa-apa. Tetapi aku terlupa fikir bahawa pelakuan aku itu mungkin melukakan perasaan sahabat aku sendiri. Dan ia sebenarnya tidak baik untuk sebuah perhubungan yang dijalinkan atas nama persahabatan.

Ya, aku minta maaf. Maaf berkali-kali.
posted by rudy bluehikari @ 2:38 AM   0 comments
Sunday, May 14, 2006
SALAM KASIH IBU


Ya, sudah hampir dua puluh sembilan tahun ibu aku kenali. Sejak aku keluar dari tembuni karung uri dari perut ibu, aku kenal dialah ibuku. Ibu yang bermati-matian membesarkan aku dan adik-adik. Ketika suka atau duka, dialah ibu yang hadir memberi semangat.

Seawal jam tujuh pagi aku sudah tercongok di depan pintu rumah ibu. Aku kucup tangan dan pipinya seraya kuperdengarkan ke sisi telinga kanannya ucapan keramat; "SELAMAT HARI IBU".

Ibu menguntum senyum. Aku lihat ada garis-garis waktu di wajah ibu.

Pantas ibu, mengasah kuali dan sudip menyediakan sarapan pagi kegemaran kami anak-anak ibu seramai 4 orang. Nasi lemak sambal sotong.

Nasi lemak ibu adalah sambutan kami pada pagi Hari Ibu tahun ini.

Terima Kasih, ibu.
posted by rudy bluehikari @ 2:45 AM   0 comments

RUDY BLUEHIKARI
dari Banting ke Fukushima
Winner of Geng Jurnal Best Weblog Award 2001
Terkini
Arkib 2006
Arkib

 

Links
Karya


    Buku kompilasi entri 20 penulis blog terbitan MINE. Hubungi saya di vicenata2000 [at] yahoo [dot] com untuk mendapatkan buku ini.


    Novel bersama kedua saya hasil tangan Sri Diah, MBA, Rudy Bluehikari dan Ibnuariff sudah berada di pasaran sekarang. Terbitan Alaf 21.


    Novel Bersama sulung saya hasil tangan 23 penulis terbitan esastera.com.


    Buku kompilasi entri penulis blog terbitan MINE. Hubungi saya di rudy [at] bluehikari [dot] com untuk mendapatkan buku ini.

Powered by

Free Blogger Templates

BLOGGER